Suara

Peristiwa
11/10/22
Selangor
Negara

Sinar Harian: 'Manakah hilangnya sanubari mereka' - MB Selangor

SHAH ALAM - Status ringkas 'manakah hilangnya sanubari mereka' oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Isnin seolah menggambarkan kekecewaan beliau dengan pembubaran Parlimen seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi.

Status tersebut dikongsikan di Facebook rasmi berserta pautan berita 'Sungai Melaka di Batu Hampar lepasi paras bahaya'.

Walaupun hanya menulis status ringkas, namun rata-rata pengikut Facebook beliau dapat meneka isi tersirat di sebalik perkongsian tersebut.

Beberapa pengguna media sosial telah meninggalkan komen pada hantaran tersebut antaranya Derm Mi Rakyats yang kurang senang apabila kerajaan kekal dengan pendirian mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini.

"Tapi dalam keadaan macam ini pun masih ada yang sibuk dengan kuasa. Pembubaran Parlimen tetap berlaku walaupun rakyat berdepan dengan situasi banjir yang boleh berlaku di mana-mana.

"Diharap penduduk yang berada di kawasan berisiko banjir lebih peka dan cakna akan situasi ini dan ambil langkah berjaga-jaga," tulisnya di ruangan komen.

Seorang lagi pengguna Facebook, Kanda Samy turut berharap semua pihak bersiap sedia dengan kemungkinan banjir dan mematuhi arahan yang telah ditetapkan.

"Semua pihak perlu memberikan kerjasama dan bersedia supaya tidak ada apa-apa yang buruk berlaku.

"Segala fakta dan data yang ada telah membawa kepada pemahaman bentuk fenomena walaupun tidak seratus peratus tepat tetapi kebarangkalian ketepatannya adalah sangat tinggi," tulisnya.

PM menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung jam 3 petang tadi memilih 10 Oktober 2022 sebagai tarikh pembubaran Parlimen selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ismail Sabri menegaskan pembubaran Parlimen itu bagi menoktahkan suara-suara yang mempertikaikan keabsahan kerajaan.

Beliau turut mengesyorkan Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor mengambil tindakan sewajarnya iaitu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama.

"Walaupun ada beberapa negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing namun ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos," katanya.

Pada Rabu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiga negeri PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN jika PRU15 diadakan tahun ini seperti diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri Selangor, Khairuddin Othman berkata, keputusan pembubaran DUN belum diputuskan.

"Buat waktu ini, tidak ada pembubaran di Selangor.

"Insya-ALLAH kita akan panggil mesyuarat dalam terdekat. Saya akan beritahu kemudian," katanya diminta mengulas berhubung status pembubaran DUN Selangor.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.