Sinar Harian: LPHS pantau projek Rumah Selangorku
SHAH ALAM - Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan memantau projek Rumah Selangorku agar proses pembinaannya siap dalam tempoh yang ditetapkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, LPHS juga akan memerhatikan harga perumahan kawalan dan mampu milik dari semasa ke semasa bagi memastikan kriteria dipenuhi.
“Tempat tinggal adalah keperluan asas manusia. Mempunyai kediaman selesa dan mampu milik adalah objektif utama membina Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan.
“Kualiti pembinaan dan kemudahan yang disediakan bagi projek-projek perumahan ini dipastikan memenuhi keperluan gaya hidup semasa,” kata Amirudin dalam catatannya di laman Facebooknya pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, sehingga kini 130,545 unit rumah mampu milik melibatkan 76 projek diluluskan bagi membolehkan penduduk Selangor memiliki rumah sendiri.
“Rakyat Selangor juga boleh menyewa sebahagian rumah sebelum membelinya menerusi Skim Smart Sewa Kemudian Beli (2STAY) yang menguntungkan,” kata beliau lagi.
Media sebelum ini melaporkan 24,428 unit Rumah Selangorku berjaya disiapkan dan ditawar kepada penduduk sejak 2018 sehingga 15 November 2021.
Ia membabitkan rumah jenis C iaitu 9,294 unit diikuti jenis D (7,822 unit), jenis B (4,122 unit) manakala jenis A (2,019) serta jenis E (1,171).