Media

Peristiwa
11/6/24
Selangor

Sinar Harian: Kerajaan negeri bantu pembeli projek rumah terbengkalai Seksyen 30

SHAH ALAM - Kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bertindak sebagai pemudah cara bagi membantu pembeli terjejas dengan projek rumah terbengkalai di Seksyen 30 di sini.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Borhan Aman Shah berkata, LPHS bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam melaksanakan siasatan berkaitan aduan tersebut dan mencari kaedah penyelesaian bersesuaian.

Menurutnya, LPHS mengambil inisiatif mengeluarkan surat pengesahan projek terbengkalai bagi membantu pembeli berurusan dengan pembiaya pinjaman bagi menstruktur semula atau pengurangan ansuran bayaran bulanan bank.

"LPHS juga mengadakan perbincangan bersama pelikuidasi (liquidator) terbabit bagi mencari kaedah terbaik dalam memulihkan projek yang terbengkalai.

"LPHS turut mengadakan perbincangan dengan semua jabatan teknikal seperti Air Selangor, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Indah Water Kosortium (IWK) dan agensi berkaitan dengan tujuan mempercepatkan pemulihan projek.

"Di samping itu, syarat minimum turut diberikan bagi membolehkan projek disambung semula dengan kos tambahan yang kecil tanpa mengabaikan isu-isu keselamatan," katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Sinar Harian Sabtu lalu bertajuk 'Simpanan Tabung Haji habis, rumah tak nampak bayang' membabitkan keluhan pembeli rumah berputih mata rumah dibeli sejak 2016 terbengkalai hingga kini.

Projek berkenaan melibatkan pembinaan 24 unit rumah teres dua tingkat yang sepatutnya siap dalam tempoh dua tahun namun gagal disiapkan susulan pemaju bankrap menyebabkan pembeli terpaksa menanggung kerugian.

Susulan itu, pembeli terlibat memohon campur tangan kerajaan negeri bagi membantu mereka daripada dianiaya.

Borhan menjelaskan, bagi isu projek berkenaan, pembelian sesebuah rumah atau hartanah adalah melalui perjanjian jual beli di antara pemaju dan pembeli.

"Dalam erti kata lain satu kontrak telah ditandatangani oleh kedua belah. Sekiranya berlaku pelanggaran kontrak maka pihak terlibat perlu membawa kes mereka ke mahkamah," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.