Suara

Peristiwa
10/5/21
Isu
Selangor
Perayaan

Sinar Harian: Kebenaran solat Aidilfitri di Selangor belum diputuskan- MB

SHAH ALAM - Status pelaksanaan solat Aidilfitri di Selangor khususnya di enam daerah yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diputuskan dalam masa terdekat.


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan mengadakan pertemuan dengan pengarah jabatan agama dan mufti semua negeri bagi membincangkan kaedah terbaik mengenai perkara tersebut.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak dimaklumkan tempoh sebenar pertemuan tersebut akan berlangsung.


"Keputusan kebenaran mengadakan solat Aidilfitri ini tertakluk kepada keputusan negeri masing-masing, namun keseragaman itu perlu dibuat untuk menjaga maslahah dan kebaikan awam," katanya ringkas kepada pemberita pada Sabtu.

Beliau ditemui ketika menyambut kepulangan pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK) di sini.

Kerajaan negeri Selangor menyediakan 16 bas secara percuma bagi membawa pulang seramai 325 pelajar di enam IPT seluruh Semenanjung Malaysia sempena Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan akan melaksanakan PKP lebih ketat di Selangor dalam usaha mengawal penularan Covid-19.

"Antaranya termasuk pengurangan aktiviti sosial serta kegiatan ekonomi yang melibatkan perhimpunan atau pengumpulan orang ramai yang tidak terkawal."


"Ini antara konsensusnya, cuma keputusan itu akan ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dijangka akan diumumkan petang ini (Sabtu) atau Ahad.

"Bukan kita tidak berperikemanusiaan tetapi konteks kesihatan menjadi keutamaan sekarang. Katil hospital semakin terhad. Pada saya kita kena melakukan sesuatu yang lebih signifikan untuk mengawal pandemik ini," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.