Suara

Peristiwa
12/5/23
Isu
Selangor

Sinar Harian: Kalimah ALLAH: Kerajaan negeri junjung titah Sultan Selangor

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj untuk menjaga kemuliaan dan kesucian agama Islam termasuk larangan penggunaan kalimah ALLAH oleh penganut agama bukan Islam di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri tegas melindungi kepentingan serta sensitiviti bahawa kepercayaan agama harus dihormati dan tidak menggugat keharmonian dan perpaduan dibina serta menjadi asas kepada Selangor Darul Ehsan.

"Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa pentadbiran ini menjunjung titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang dizahirkan pada 23 Mac 2021.

"Titah Tuanku sebagai Ketua Agama Islam Negeri Selangor bahawa penggunaan kalimah ALLAH di negeri Selangor oleh penganut agama bukan Islam adalah dilarang.

"Ini adalah selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2014, serta fatwa diwartakan di Selangor pada 18 Februari 2010 berkaitan dengan perkara yang sama," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar berkata, kerajaan Selangor mengambil maklum penjelasan Kementerian Dalam Negeri dan perakuan berhubung enakmen negeri-negeri terkait dengan perkara ini dan menyatakan komitmen bahawa hak dan enakmen negeri khususnya yang melibatkan isu ini yang diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988) akan terus dipertahankan.

"Ini bermaksud perkembangan ini tidak akan menjejaskan atau mengancam pendirian kerajaan negeri Selangor berhubung penggunaan kalimah ALLAH," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.