Sinar Harian: Dakwa bubar Parlimen satu kesilapan, Hishammuddin bidas Amiruddin
KUALA SELANGOR - BN menyelar kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kononnya pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan merupakan satu kesilapan.
Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, Amirudin sepatutnya sedar dengan kenyataannya itu kerana beliau antara pemimpin yang dicalonkan paling awal bertanding untuk mewakili Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Gombak.
"Alih-alih apabila kita bubar Parlimen, beliaulah (Amirudin) yang dicalonkan paling awal untuk bertanding.
"Saya tengok dalam masa beberapa hari (pembubaran Parlimen) bendera pun sudah siap dibeli hanya (tinggal) untuk dipasang," katanya pada sidang akhbar di Balai Raya Kampung Bestari Jaya di sini pada Ahad.
Hishammuddin sebelum itu turut beramah mesra bersama penduduk pada Karnival Sukan Bola Sepak bersama Masyarakat India di Padang Bestari Jaya pada Ahad.
Hishamuddin mendakwa, dalam keadaan parti lawan yang takut untuk menghadapi PRU15, Amirudin secara 'senyap' telah pun membuat persiapan untuk bertanding sebagai calon.
Sehubungan itu, katanya, BN tidak perlu menghiraukan apa jua kenyataan dikeluarkan pembangkang kerana perlu juga menghadapi dan memenangi PRU15.
"Kita sudah pun bubar Parlimen, malah calon kita pun sudah kenal, tinggal beberapa hari sahaja untuk kita mengundi, teruskan sahaja pilihan raya ini," kata beliau.
Media pada Jumaat lalu melaporkan, Amirudin menyifatkan pembubaran Parlimen ketika musim banjir bagi mengadakan PRU15 satu kesilapan.
Menurut Amirudin, bencana yang berlaku menyebabkan mangsa dan pegawai daerah yang terlibat dalam pilihan raya terganggu.