Media

Peristiwa
4/6/24
Selangor

Sinar Harian: Akademi Pengajian Turath, Talaqi diperkenal di Selangor

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor berhasrat memperkenal Akademi Pengajian Turath bagi memastikan pendidikan dalam kitab warisan Islam dapat dilaksana di negeri berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Asri Amirudin Shari memaklumkan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah akan dipilih sebagai lokasi pengajian, dengan mengetengahkan silibus dan rancangan pengajian tersusun.

"Kita juga telah menyusun silibus dan rancangan pengajian secara Talaqi di masjid-masjid, dan pengajian ini akan dilaksanakan pada peringkat permulaan di sembilan daerah di Selangor.

"Tekad ini juga dipupuk selain dari kejayaan Al-Azhar yang telah saya sebut (sebelum ini) juga kerana mengenangkan kejayaan wizurai terkenal Dinasti Saljuq Nizamul Muluk (Nizam Al Mulk)," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Penghayatan Riyadhu As-Salihin sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Sabtu.

Majlis Perasmian Seminar Penghayatan Riyadhu As-Salihin sempena Festival Turath Islami Selangor itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Besar berkata, usaha-usaha menghidupkan pengajian kitab-kitab muktabar atau turath di Selangor harus mencerminkan displin serta kecekalan Al-Azhar serta ulama-ulamanya dan cita-cita Nizamul Muluk yang mahukan umat Islam canggih serta anggun.

Ujarnya, kitab-kitab muktabar tersebut bukan sahaja mutiara bait-baitnya adalah penjelasan ulama akan tetapi juga adalah kehebatan kaedah berfikir mereka atau apa yang kita sebut sekarang sebagai"train of thoughts.”

"Justeru membacanya bersama para guru yang diiktiraf serta muktabar makanya akan melatih kita mendalami serta menyelami lautan ilmu," ujarnya lagi.

Terdahulu, Festival Turath Islami Selangor membuka tirai pada 26 Mei lalu dan akan berakhir pada Ahad dengan mengupas karya agung Imam Nawawi dengan lebih mendalam melibatkan ulama tradisional dan ahli akademik.

Festival kali ini turut menampilkan bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Professor Dr Ali Jum’ah yang akan mengupas Kitab Hadis 40.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.