Media

Peristiwa
20/11/23
Selangor
Bantuan

Sinar Harian: 68,452 isi rumah di Selangor berdaftar dalam sistem e-Kasih

SHAH ALAM - Seramai 68, 452 ketua isi rumah (KIR) di negeri Selangor didaftarkan di bawah sistem e-Kasih setakat ini.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata, daripada jumlah itu, seramai 4,939 KIR adalah dalam kalangan miskin tegar.

Menurut beliau, rekod sistem e-Kasih itu diperoleh secara komprehensif menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Kedua-dua unit ini bertindak sebagai penyelaras program pembasmian kemiskinan oleh agensi pemberi bantuan di peringkat Persekutuan dan negeri melalui mesyuarat fokus grup kesejahteraan rakyat negeri Selangor dan di peringkat daerah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan nota penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Jumaat.

Papparaidu berkata, kerjasama di antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam program pembasmian kemiskinan dan memperkasakan kesejahteraan rakyat sering dibincangkan secara bersama bagi mengenal pasti bentuk bantuan bersesuaian kepada KIR sekali gus menoktahkan miskin tegar.

Tegas beliau, usaha membanteras kemiskinan negeri ini sentiasa diperhebat tanpa mengira keluarga miskin mahu pun miskin tegar.

Sehubungan itu, katanya, inisiatif kerajaan negeri melalui Iltizam Selangor Penyayang dilihat sebagai satu inisiatif berterusan malah menjadi strategi jangka masa panjang dalam membasmi kemiskinan.

"Oleh demikian, usaha sedang dan telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk meningkatkan jumlah pendapatan rakyat daripada B-40 kepada M-40.

"Pelbagai inisiatif dijalankan termasuk Iltizam Keusahawan Selangor, Program Hijrah Mikro Kredit dan Program Pembasmian Kemiskinan.

"Program yang telah dilaksanakan ini merupakan program pelaksanaan dan peningkatan pendapatan rakyat bagi melonjakkan ekonomi mereka dan keluarga," tambahnya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.