Sinar Harian: 100,000 dijangka banjiri Program MADANI Rakyat Zon Tengah
PUTRAJAYA - Seramai 100,000 pengunjung dijangka membanjiri Kompleks Sukan Kuala Selangor sekali gus memeriahkan Program MADANI Rakyat (PMR) Zon Tengah yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini.
PMR dianjurkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) bersama Kementerian Peneraju iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Kerajaan Negeri Selangor.
Bagi PMR Zon Tengah, ia merangkumi negeri Selangor, Perak, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mana ia merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang telah diadakan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Disember lalu.
ZURIHANMI
Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani, KPKM, Zurihanmi Zakariya berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran 100,000 pengunjung hadir sepanjang tiga hari itu memandangkan ia merupakan julung kali diadakan.
Menurutnya, lokasi di Kuala Selangor dipilih selari dengan fokus utama penganjuran program iaitu berkenaan pertanian dan keterjaminan makanan.
"Jadi kita bawakan PMR ini di kawasan-kawasan di mana lokaliti pertanian itu berada.
"Melalui PMR, kita bawa semua perkhidmatan kerajaan kepada golongan petani, nelayan, penternak dan masyarakat setempat yang berada di sekitar Kuala Selangor dan kawasan Zon Tengah
"Masyarakat boleh melihat hala tuju baharu kementerian dalam aspek pertanian yang mana kita akan bawa elemen-elemen berkenaan teknologi dalam tanaman bawang, nanas, herba dan sebagainya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, pada Rabu.
Lebih 160 perkhidmatan terus untuk rakyat
Pada masa sama, Zurihanmi menjelaskan, PMR Zon Tengah memfokuskan perkhidmatan secara terus kepada rakyat dengan lebih 160 jenis perkhidmatan daripada pelbagai agensi kerajaan.
"Tiada sebarang sekatan dan tidak memerlukan temu janji. Jadi rakyat dapat terus bertemu muka dengan pegawai bertugas untuk menyelesaikan permasalahan mereka.
"Lebih 160 perkhidmatan ini mewakili seluruh perkhidmatan yang ada di bawah jentera kerajaan termasuk semakan bantuan RAHMAH, diskaun saman dan sebagainya.
"Pendek kata, orang ramai perlu hadir, insya-ALLAH apa yang mereka perlukan nanti akan ada di sana," jelasnya lagi.
Pavilion Khas KPKM
Tambah beliau lagi, satu pavilion khas KPKM juga disediakan dengan pelbagai pengisian, perkhidmatan dan aktiviti yang boleh dimanfaatkan pengunjung.
Katanya, ia meliputi pelbagai elemen termasuk teknologi padi, teknologi veterinar serta pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Kelainan yang dibawa di Kuala Selangor ini, kita akan ada reruai untuk bancian pertanian selain daripada elemen-elemen berkaitan dengan vertical farming serta teknologi-teknologi dalam bidang pertanian seperti dron dan sebagainya," katanya.
Para petugas sedang giat membuat persiapan PMR 2024 Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor yang bakal berlangsung pada 23 hingga 25 Februari ini.
Mengulas lanjut, Zurihanmi berkata, sehingga kini, persiapan bagi acara tersebut telah mencapai 80 peratus dan kru bertugas juga telah bersiap sedia menerima pengunjung seawal jam 9 pagi pada hari pertama nanti.
Malah, orang ramai juga katanya tidak perlu bimbang kerana terdapat kawasan parkir disediakan bersama kemudahan pengangkutan transit, bas untuk ke tapak program.
"Kawasan parkir kenderaan bukan hanya di sekitar kawasan Kompleks Sukan kuala Selangor tetapi juga ada beberapa tempat lagi yang telah dikenal pasti," katanya.
Jualan
Ujarnya lagi, orang ramai juga tidak harus melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan melalui Jualan Agro Mega MADANI yang menawarkan harga jualan sehingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.
"Kita juga menyediakan pameran di bawah Agrovet yang mana haiwan-haiwan ternakan seperti lembu sado, termasuk haiwan peliharaan lain. Tentunya ini akan jadi tarian kepada kanak-kanak," katanya.
PMR Zon Tengah dijangka mencapai kemuncaknya apabila perasmian penutup akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Februari ini.
PMR Zon Tengah dibuka secara percuma kepada pengunjung seawal jam 9 pagi sehingga 10 malam bermula 23 hingga 25 Februari ini.
INFOGRAFIK:
PROGRAM MADANI RAKYAT ZON TENGAH
Program tumpuan KPKM:
Pameran Paddy Tech
Pameran AgroPelancongan
Pameran Fruit Valley
Pameran TVET Pertanian
Pameran AgroVet
Teaser MAHA 2024
Jualan Agro dan MADANI
Pameran Akuakultur
Agro Chef
Program-program tumpuan lain:
Kaunter semakan / rayuan bagi Sumbangan Tunai RAHMAH (STR) & Sumbangan Asas RAHMAH (SARA).
Kaunter inisiatif rebat bil elektrik oleh Sektor TENAGA.
Semakan dan permohonan bantuan JKM.
Kaunter pendaftaran dan semakan eKasih/ PDPS/ SejaTi MADANI.
Kaunter bayaran kompaun saman trafik PDRM.
Kaunter Perkhidmatan dan Bantuan Veteran ATM.
Kaunter sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Subuh macam Jumaat (Sabtu).
Perlawanan persahabatan pilihan Menteri Besar Selangor menentang pilihan Menteri Besar Perak.
Pameran aset pasukan keselamatan.
Karnival Kerjaya.
Kaunter semakan/ pendaftaran Program Skim Keselamatan Sosial.
Suri Rumah (SKSSR) dan MySynergy.
Bantuan Bina Baharu/ Baiki Rumah dan Usahawan Nano.
Kaunter Semakan Program i-Suri dan Program i-Sayang.
Skim Insurans Am Selangor (INSAN).
Perumahan Mampu Milik (Rumah Selangorku).
Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS).
Klinik Usahawan Selangor.
Promosi Saringan Selangor Kanser (SELCAN).
Tahun Melawat Perak 2024.
Lindung@PUJI Pendaftaran Residensi Wilayah dan Residensi MADANI.