Inisiatif

Peristiwa
11/12/23

Sembah Ucapan Taat Setia

Sembah Ucapan Taat Setia

Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor

Bersempena Istiadat Penganugerahan / Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang ke 78 DYMM Sultan Selangor

Negeri Selangor Darul Ehsan

11 Disember 2023

Ampun Tuanku

Menghadap

Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni

Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya

dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor.

Ampun Tuanku beribu – ribu ampun,

Sembah patik mohon diampun.

Didahulukan segalanya, seraya mengangkat puji-pujian kepada Allah Tuhan semesta alam, tiada sekutu bagi-Nya dan tiada sesuatu pun yang setara dengan-Nya. Segala kekuasaan dan kekuatan adalah milik-Nya. Sesungguhnya Dia bersemayam di Arasy yang mulia sesuai dengan ayat 54 Surah al-A’raaf Firman Allah Subhanahu wa Taala dalam Al-Quran yang mulia:

إِنَّ رَبَّكُمُ ٱللَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ فِى سِتَّةِ أَيَّامٍۢ ثُمَّ ٱسْتَوَىٰ عَلَى ٱلْعَرْشِ يُغْشِى ٱلَّيْلَ ٱلنَّهَارَ يَطْلُبُهُۥ حَثِيثًۭا وَٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ وَٱلنُّجُومَ مُسَخَّرَٰتٍۭ بِأَمْرِهِۦٓ ۗ أَلَا لَهُ ٱلْخَلْقُ وَٱلْأَمْرُ ۗ تَبَارَكَ ٱللَّهُ رَبُّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Ia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.

Ampun Tuanku,

Patik mewakili seluruh rakyat jelata dan kepimpinan pentadbiran Kerajaan Tuanku, merafak sembah taat setia dan menjunjung kasih setinggi-tinggi tahniah buat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan dan Yang DiPertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya bersempena Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku ke-78.

Patik-patik sekalian senantiasa mendoakan agar Tuanku dan DYMM Tengku Permaisuri serta kaum kerabat dikurnia dan dilimpahi rahmat, keberkatan, kemuliaan, keafiatan serta dipelihara keselamatan yang baik hendaknya.

Doa sekalian rakyat juga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan seterusnya kepada puteri-puteri dan adinda-adinda tuanku, waris-waris serta kerabat diraja sekalian, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah oleh Allah SWT.

Ampun Tuanku,

Pada hari yang mulia ini patik sebagaimana saban tahun akan mengikrarkan taat setia patik kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Sesungguhnya dengan keizinan Allah Subhanahu wa Taala makanya berkat daulat kebesaran dan nasihat pedoman Duli Yang Maha Mulia Tuanku menjadi teladan serta memperkukuh keazaman patik untuk mentadbir Negeri Selangor dengan lebih baik.

Ampun Tuanku,

Keazaman serta tekad kesetiaan patik ini boleh disimpulkan sebagaimana yang pernah dizahirkan oleh Almarhum Raja Ali Haji dalam karya beliau Tuhfatun Nafis yang merakamkan kalam “aruk” atau kesetiaan Almarhum Opu Daeng Merewah kepada Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah tatkala dilantik sebagai Yamtuan Muda Kerajaan Riau Lingga yang pertama :

“Barang yang tiada suka engkau membujur di hadapanmu aku lintangkan, dan barang yang tiada suka melintang di hadapanmu aku bujurkan. Barang yang semak di hadapanmu, aku cucikan”

Tekad Almarhum Daeng Merewah itulah yang patik sematkan ke dalam hati sanubari patik ini. Sebagaimana ketika patik menggenggam Lembing Sangbuana ketika mengangkat sumpah menjawat jawatan Dato’ Menteri Besar tempoh hari, begitulah patik akan bersetia berkhidmat ligat berusaha demi memperhebat kerajaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku serta melindungi kebajikan rakyat Negeri Selangor.

Pada hemat patik, institusi Kesultanan Selangor yang kaya dengan sejarah serta susur galur yang bermula dari Raja Lumu yang mengambil gelaran Sultan Salehuddin Shah bersendikan semangat kepahlawanan, keilmuan, dan keimanan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala harus dipertahankan kedaulatannya, dihormati, dan disanjungi, dan tidak boleh sesekali dicerca ataupun dihina. Semangat kepahlawanan Raja Ali Haji Fisabilillah, keilmuan sarjana Raja Ali Haji serta keimanan dan sifat warak Sultan Alauddin Sulaiman yang menulis kitab-kitab seperti Kitab Pohon Ugama menjadikan rakyat berbangga dinaungi kedaulatan Kesultanan Selangor.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,

Patik dengan sukacita ingin menyembah maklum bahawa pembangunan ekonomi negeri Selangor di bawah Kerajaan Tuanku terus meningkat. Pada tahun lalu, sumbangan negeri Selangor Darul Ehsan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia terus meningkat kepada 25.5% sekaligus meningkatkan peranan negeri Selangor sebagai negeri yang menyumbang lebih satu perempat kepada kepada KDNK negara.

Sehingga 6 Disember 2023, Kerajaan Tuanku telah mencatat kutipan hasil berjumlah RM 2.571 billion iaitu 128 peratus dari sasaran kutipan hasil 2023 berjumlah RM 2 billion.

Ini adalah manifestasi dan bukti kesungguhan barisan penjawat awam dan anggota pentadbiran Kerajaan Tuanku bagi memacu ekonomi negeri dan meningkatkan hasil demi manfaat rakyat jelata. Malah pencapaian ini menggambarkan keyakinan komuniti pelaburan serta rakyat Tuanku terhadap sikap dan kebertanggungjawaban Kerajaan Tuanku dalam merencana dan mengagihkan kekayaan negeri secara efektif dan bersasar.

Antaranya pembangunan di wilayah selatan Selangor iaitu Integrated Development Region in South Selangor ataupun IDRISS dibangunkan dalam kawasan seluas 40,000 ekar di mana Kerajaan Tuanku akan merancang dan memudahcara pembangunan kawasan baharu ini.

Kerajaan Tuanku turut berhasrat untuk mewujudkan perbandaran baharu di kawasan IDRISS ini seumpama Shah Alam dan Bangi yang untuk didiami terutamanya anak-anak Melayu rakyat jelata menumpang teduh di bumi Selangor yang bertuah ini.

Ampun Tuanku,

Dalam Belanjawan 2024 yang telah patik bentangkan pada November lalu, Kerajaan Tuanku berhasrat mewujudkan pentadbiran Lembah Klang Raya yang meliputi 4 Bandaraya iaitu Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang.

Lembah Klang Raya bermatlamat untuk menyatu, menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran 4 buah bandar berkenaan bagi memudahcara proses perniagaan dan pembangunan, mengurangkan karenah birokrasi serta memudahkan kehidupan rakyat. Tambahan kepada itu, Lembah Klang Raya bertujuan membolehkan Kerajaan Tuanku memulakan proses rejuvenasi bandar-bandar matang bagi menarik pelaburan dalam industri baharu yang berteraskan digitalisasi agar Gagasan Lembah Klang Raya menjadi bandar yang berdaya tahan terutamanya dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, bandar yang mampan, serta berdaya huni.

Langkah ini juga diilhamkan dari pemerintahan nenda Tuanku iaitu Almarhum Sultan Abdul Samad yang diingati kerana jasa Baginda menyatukan semua wilayah di Selangor dan mewujudkan satu sistem pentadbiran dan percukaian moden yang sistematik dan efisien di Selangor. Almarhum Sultan Abdul Samad akan sentiasa diingati sejarah sebagai Sultan Selangor yang memasyhurkan Kuala Lumpur dan memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor menerusi pelbagai aktiviti perekonomian dan merupakan perintis kepada pentadbiran negeri yang moden dan efektif.

Adalah menjadi hasrat pentadbiran Kerajaan Tuanku dengan mencipta pentadbiran Lembah Klang Raya ini akan memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor dan meletakkan Selangor sebagai negeri ulung di benua Asia Tenggara sebaris dengan wilayah terkemuka.

Kerajaan Tuanku juga berikhtiar merencana dan meningkatkan peluang bagi generasi muda di bumi Selangor untuk diberikan pekerjaan yang boleh menawarkan mereka gaji yang lebih tinggi dan berpatutan. Bagi merealisasikan hasrat itu, Kerajaan Tuanku akan membangunkan Majlis Kemahiran dan Pekerjaan Selangor bagi merealisasikan hasrat 100,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi bagi rakyat Tuanku, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Selain itu, patik serta pasukan penjawat awam akan memulakan proses Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama yang akan menggariskan beberapa inisiatif pembugaran ekonomi seperti pembangunan Dron Selangor, Pusat Kecerdasan Buatan Selangor, serta mengukuhkan sistem pengangkutan awam dengan membangunkan Jajaran Rel Kita Selangor dari Bandar Diraja Klang ke Kuala Selangor dan kemudiannya ke Tanjong Karang dan Sabak Bernam bagi membolehkan rakyat Tuanku yang menetap di kawasan Pantai Barat dapat mengakses kawasan perekonomian maju di Lembah Klang dan Kuala Lumpur.

Ampun Tuanku,

Patik selaku Dato’ Menteri Besar juga mahu menzahirkan tekad patik serta kerajaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk memperkukuhkan serta melindungi dan meninggikan syiar agama Islam di Negeri Selangor.

Seyogia pada bulan Mei tahun 2023 Kerajaan Negeri buat julung-julung kalinya telah melaksanakan Festival Turath Islami demi mengangkat harakat keilmuan Islam.

Hakikatnya Kesultanan Selangor dan leluhurnya sememangnya akrab dengan keilmuan dan turath Islami. Almarhum Raja Ali Haji merakamkan dalam Tuhfatun Nafis bahawa nenda beliau Yang Dipertuan Muda Riau keempat Almarhum Raja Haji Fisabilillah ketika syahid melawan Belanda di Teluk Ketapang pada bulan Jun 1784, di sebelah tangannya memegang badik manakala tangan lainnya memegang kitab Dalailul Khayrat; himpunan selawat buat Rasulullah SAW yang dikarang Imam Muhammad ibn Sulayman al-Jazuli rahimahullahutaala.

Tamadun dan Dunia Islam sejak abad-berabad, menitik-beratkan ilmu pengetahuan dan usaha untuk mendapatkan ilmu dan mendalami ilmu, dari Semenanjung Iberia al Andalus sehingga ke Nusantara, Dunia Islam tidak pernah lekang dengan para Ulama dan sarjana yang gigih menyebarkan agama Islam dan disiplin ilmu yang terkait dengannya serta pengetahuan yang memberikan manfaat kepada umat serta manusia secara amnya.

Kerana itulah juga Kerajaan Tuanku menekankan istilah turath yang secara am-nya membawa makna warisan. Warisan keilmuan dan ketamadunan Dunia Islam itu begitu luas dan dalam. Seraya demikian, Kerajaan Tuanku mengangkat serta meraikan nama ulama besar iaitu Imam al-Ghazali dan karya beliau Ihya Ulumuddin.

Tambahan kepada itu, sebagai tanda dan komitmen mempermudahkan para jemaah dalam melaksanakan ibadah Haji di Baitullah, Kerajaan Tuanku akan mengukuhkan Insentif Haji Selangor yang dilaksanakan tahun ini melalui wang saku kepada subsidi Haji pada tahun hadapan dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji.

Ampun Tuanku,

Patik sekalian yakin dengan Izin Allah SWT dan diiringi doa Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Kerajaan Tuanku mampu meneruskan kegemilangan Negeri Selangor untuk mengangkat harakat umat Melayu dan martabat serta karamah insan seluruh rakyat negeri ini.

Kerajaan Tuanku akan berusaha agar ilmu dan hikmah menjadi teras kepada usaha memartabatkan umat Islam di negeri ini. Berteraskan ilmu pengetahuan, umat Melayu akan tampan berkeyakinan, mampan bersaing dengan bangsa lain serta menzahirkan akhlak terpuji sesuai dengan Al- Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

Alhamdulillah Negeri Selangor telah melalui proses demokrasi menerusi Pilihan Raya Negeri 2023 pada Ogos lalu. Syukur Alhamdulillah kerana pesta demokrasi ini telah berlangsung dengan aman, tenteram dan stabil.

Rakyat telah melaksanakan tanggungjawab dan telah memilih Gabungan Perpaduan untuk terus mentadbir negeri dan menerajui pentadbiran Kerajaan Tuanku.

Gabungan Perpaduan yang mewakili seluruh rakyat berbilang kaum dan agama di Selangor telah dipilih membuktikan bahawa rakyat ingin melihat perancangan dan gagasan yang telah dibentang, terus dilaksana demi kemakmuran negeri tercinta.

Patik mewakili Kerajaan Perpaduan yang mentadbir negeri Selangor ingin menyatakan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada DYMM Sultan Selangor dan institusi Raja Melayu serta bertekad untuk terus memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Undang Undang Tubuh Negeri Selangor, hak keistimewaan orang Melayu dan kesucian agama Islam.

Di samping itu, Kerajaan Perpaduan akan terus berikhtiar dan berusaha demi kesejahteraan semua rakyat Negeri Selangor yang berbilang bangsa dan agama, dan memelihara perpaduan yang dibina setelah sekian lama sebagai kerukunan rakyat Negeri Selangor.

Akhirul kalam Patik sekalian mendoakan semoga Allah SWT terus menganugerahkan DYMM Tuanku kekuatan dan keberkatan untuk terus kekal qarar bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan.

Daulat Tuanku

Daulat Tuanku

Daulat Tuanku

Dari patik yang taat setia

DATO’ SERI AMIRUDIN SHARI

May be an image of 4 people, dais and text

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.