Sembah Tahniah dan Ucap Selamat Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-75 Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj
Patik mewakili seluruh rakyat, kepimpinan serta pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan, merafak sembah taat setia dan menjunjung kasih tahniah buat Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan dan Yang DiPertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya bersempena Ulangtahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang ke-75.
Patik dan seluruh rakyat jelata amat bersyukur kepada Allah Subhanu wa Taa’la kerana diberi Izin oleh-Nya untuk dinaungi kedaulatan Tuanku Sultan. Tuanku ibarat pohon yang rendang dan teguh tempat kami sekalian rakyat berteduh dipayungi kebijaksanaan pemerintahan Tuanku.
Patik-patik sekalian senantiasa mendoakan agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri serta kerabat DiRaja Negeri Selangor dikurniakan dan dilimpahi rahmat, kemuliaan serta kesihatan yang baik hendaknya.
Doa sekalian rakyat juga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor dan seterusnya kepada puteri – puteri dan adinda – adinda Tuanku, waris – waris serta kerabat DiRaja sekalian, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah, serta senantiasa dalam perlindungan Allah SWT.
Kami memanjatkan doa dan munajat agar Negeri Selangor Darul Ehsan terus aman sentosa, makmur sejahtera di bawah pemerintahan DYMM Tuanku. Semoga Allah SWT lanjutkan usia serta merahmati pemerintahan DYMM Tuanku.
Daulat Tuanku