Media

Peristiwa
21/8/23
Selangor
Bantuan

Selangor Kini: Yayasan Selangor belanja RM109,600 jayakan tuisyen pintar, program masuk universiti

SHAH ALAM, 20 OGOS: Yayasan Selangor membelanjakan RM109,600 bagi menjayakan program Tuisyen Pintar dan program Selangkah Ke Universiti yang memberi manfaat kepada hampir 1,000 pelajar tajaannya di empat daerah.

Pemangku ketua pegawai eksekutifnya berkata daripada jumlah itu, RM74,000 diperuntuk bagi program Tuisyen Pintar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, Sabak Bernam dan Sekolah Menengah Agama Tinggi Sultan Hisamuddin, Klang.

Zaini Sulaiman berkata baki RM35,600 pula diperuntuk bagi mengerakkan program Selangkah Ke Universiti membabitkan daerah Gombak dan Petaling.

“Seramai 100 pelajar dipilih untuk menyertai program Tuisyen Pintar di MRSM Sungai Besar melibatkan 10 sekolah antaranya SMK Sungai Besar, MITS Sabak Bernam, SMK Bagan Terap, SMK Munshi Abdullah.

“KPI murid yang ditetapkan dalam peperiksaan SPM adalah 5A, tetapi dengan adanya program ini, saya harap keputusan SPM mereka dapat dilonjakkan ke tahap tertinggi sekali gus meningkatkan peluang menyambung ke institusi pengajian ternama di dalam mahupun luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Zaini merasmikan program Tuisyen Pintar anjuran Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dengan kerjasama Yayasan Selangor di MRSM Sungai Besar.

Dalam program berkenaan, pelajar turut didedahkan dengan tawaran pendidikan, pemilihan bidang pengajian ke peringkat universiti dan persediaan menempuh alam pekerjaan.

Tuisyen Pintar berlangsung setiap Sabtu selama 10 sesi mulai 29 Julai hingga 4 November manakala program Selangkah Ke Universiti dijadual berrmula September ini.

Sejak 2018 sehingga kini, Yayasan Selangor menyumbang RM40 juta bantuan pendidikan dan biasiswa kepada hampir 8,000 anak Selangor untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.