Media

Peristiwa
11/1/24
Isu
Selangor

Selangor Kini: Usahawan muda PKNS raih pendapatan lebih RM2.48 juta tahun lalu

SHAH ALAM, 10 JAN: Usahawan muda Program Tunas Niaga (PROTUNe) seliaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merekodkan pendapatan keseluruhan berjumlah RM2.48 juta tahun lalu.

Timbalan ketua pegawai eksekutifnya (pengurusan dan keusahawanan) juga berkata 1,152 syarikat berjaya ditubuh dengan jualan bernilai RM28.89 juta sejak 2009 sehingga tahun lalu.

“Ini adalah satu pencapaian yang membanggakan dalam usaha Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS mencungkil bakat-bakat muda di peringkat pelajar sekolah menengah bagi melahirkan usahawan cilik berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan.

“PKNS percaya budaya keusahawanan ini merangkumi nilai dan aspek yang dapat membentuk keperibadian positif seterusnya tidak gentar berdepan dengan cabaran pada masa hadapan,” kata Suhaimi Kasdon.

Beliau berkata demikian pada majlis konvokesyen PROTUNe di sini hari ini. Hadir sama Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Yasmin Kamarudin dan Duta Keusahawanan PKNS, Datuk Rosyam Nor.

Sebanyak 10 kategori anugerah dipertandingkan iaitu Anugerah Harapan, Perkhidmatan Terbaik, Produk Kreatif Terbaik, Produk Inovasi Terbaik, Laporan Kewangan Terbaik, Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik, Guru Pembimbing Terbaik, Persembahan Terbaik Sekolah Terbaik dan Syarikat Terbaik.

Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gading, Sungai Buloh mengekalkan kejuaraan syarikat terbaik dua tahun berturut-turut menerusi syarikat Tuah Gading Sdn Bhd selain memenangi Perkhidmatan Terbaik (kedua), Laporan Kewangan Terbaik (johan), Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik (ketiga), Persembahan Terbaik (johan) dan Sekolah Terbaik (kedua).

PROTUNe menyediakan platform kepada peserta untuk mengikuti bengkel dan seminar bimbingan berkaitan perjalanan syarikat, latihan keusahawanan serta perniagaan secara praktikal.

Antara latihan disediakan termasuk penjualan produk makanan dan minuman, seni kraftangan, pakaian serta perkhidmatan seperti fotografi, dobi dan katering.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.