Media

Peristiwa
17/7/24
Selangor

Selangor Kini: Tarik lapan juta pelancong, Tahun Melawat Selangor sedia lebih 60 acara


SHAH ALAM, 16 JULAI: Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) dijangka menarik lapan juta pelancong domestik dan antarabangsa dengan sasaran kutipan resit RM11.7 bilion.

Menurut Tourism Selangor, TMS2025 disasar menawarkan lebih 60 program dan acara dengan promosinya memberi penekanan khusus kepada beberapa segmen termasuk pelancongan eko, agro, seni dan budaya.

“Segmen lain termasuk pelancongan gastronomi (makanan), MICE (mesyuarat, insentif, persidangan, pameran) dan pelancongan pengalaman.

“Kempen TMS2025 merupakan hala tuju promosi pelancongan terbaharu yang akan menjalankan aktiviti promosi dalam skala yang besar untuk meningkatkan profil dan kemajuan industri pelancongan Selangor,” maklum agensi itu kepada Selangorkini.

Tourism Selangor memaklumkan pihaknya turut melaksanakan kajian seperti analisis pasaran bagi menentukan segmen pelancong berpotensi dan trend percutian semasa.

“Selain itu program latihan dan pendidikan pelancongan turut dilaksanakan untuk meningkatkan kemahiran dan kesedaran penggiat industri terhadap keperluan pelancong.

“Kalendar acara pelancongan dan festival yang mempunyai daya tarikan unik akan turut disediakan selain membuat persediaan dalam aspek keselamatan dan kebersihan di destinasi pelancongan dan kemudahan umum,” katanya.

Katanya, pemasaran dan promosi turut digiatkan menerusi pengiklanan, digital dan media sosial, siri promosi dalam dan luar negara, penganjuran acara pelancongan, jerayawara dan pameran.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini melancarkan iklan panel belakang bas Smart Selangor yang mempromosi lokasi pelancongan menarik di seluruh negeri sempena TMS2025.

Kempen pengiklanan dengan peruntukn RM250,000 itu melibatkan promosi bagi sembilan daerah di Selangor dengan sokongan lima pihak berkuasa tempatan.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.