Selangor Kini: Sultan puji usaha negeri bina 1,000 stesen pengecas, sokong industri kereta elektrik
SHAH ALAM, 27 FEB: Inisiatif Kerajaan Negeri melaksanakan penggunaan kenderaan elektrik menjadi pemangkin penghasilan mobiliti lestari alam, titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah rancangan negeri membina 1,000 stesen pengecas akan mempercepat transformasi kepada penggunaan kenderaan elektrik.
“Beta mengambil maklum cadangan penggunaan kenderaan elektrik oleh Kerajaan Negeri, agensi serta badan berkanun. Inisiatif ini diharap menjadi pemangkin kepada peningkatan penggunaan kenderaan elektrik di Selangor,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian dalam istiadat mesyuarat pertama (pembukaan) persidangan penggal kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Baginda bertitah Pembangunan Sultan Idris Shah Green Energy Plant (SISGE) dapat menjana nilai tambah sisa pepejal melalui penjanaan tenaga dan bahan berguna yang boleh diperdagangkan seperti elektrik, haba atau bahan api.
“SISGE yang merupakan taman tenaga hijau (Green Eco Park) merangkumi fasiliti loji sisa kepada tenaga (Waste-to-Energy) berkemampuan untuk membakar dua ribu empat ratus (2,400) tan sampah sehari.
“Ia juga menjana seratus tiga puluh perpuluhan lima (130.5) megawatts tenaga elektrik melalui pembangunan yang melibatkan empat fasa,” titah Baginda.