Selangor Kini: Sukarelawan Selangor, NGO bekerjasama jaya misi bantuan pascabah di Kelantan
KOTA BHARU, 27 DIS: Sukarelawan Selangor (Serve) dan Pasukan Tindakan Segera (Pantas) akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan bagi melaksanakan misi bantuan pascabanjir di Kelantan, Januari depan.
Dato’ Menteri Besar berkata kolaborasi antara kedua pihak itu perlu kerana misi tersebut dijangka berdepan cabaran susulan penempatan penduduk di kawasan terpencil, capaian telefon dan internet, kemudahan asas serta permukaan jalan yang tidak sempurna.
Bagaimanapun, Dato’ Seri Amirudin Shari yakin kerja pembersihan pascabanjir berjalan lancar hasil penyelarasan gerak kerja bersama pihak berkaitan.
“Jadi Serve dan Pantas akan kolaborasi dengan NGO tempatan untuk menyusun program bantuan pascabanjir di negeri ini yang dijangka boleh dilaksanakan pada Januari nanti.
“Kali ini kita akan turun ke kawasan lebih bawah untuk dibantu, sebab itu perbincangan diadakan sejak semalam dan hari ini supaya gerak kerja lebih tersusun,” katanya.
Beliau ditemui pada program minum petang bersama Yayasan Darul Hijrah di Hotel Jewels di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusinya Datuk Husam Musa dan EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman.
Dalam majlis sama, Amirudin turut menyerahkan sumbangan kerjasama strategik program pascabanjir Kelantan kepada NGO terbabit berjumlah RM50,000.
Pada 20 Disember lalu, Amirudin berkata Kerajaan Selangor melalui skuad Pantas serta Serve bersedia berkhidmat untuk sebarang bentuk bantuan kemanusiaan pascabanjir sebaik sahaja keadaan mengizinkan kelak.