Selangor Kini: Strategi khemah besar tidak libat pemimpin khianat parti
SHAH ALAM, 11 MEI: Pendekatan khemah besar yang digerakkan Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak membabitkan parti prokerajaan, sebaliknya tumpuan terarah bagi menyatukan pembangkang.
Menegaskan strategi itu bukan agenda Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), calon timbalan presiden berkata hal tersebut juga tidak pernah dibangkitkan mana-mana peringkat pimpinan KEADILAN.
“Kita tidak bercakap soal berunding dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Bersatu atau watak-watak seperti (Datuk Seri) Azmin (Ali) dan (Datuk) Zuraida (Kamaruddin) kerana kita faham sentimen dalam parti ada watak-watak yang mereka benci.
“Jadi bila ada pemilihan parti akan ada kelompok yang memainkan perkara itu dengan gambaran tidak tepat seolah-olah pendekatan rundingan itu ada,” kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau bercakap pada program Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar? yang turut menampilkan seorang lagi calon timbalan presiden Rafizi Ramli di Kompleks Karangkraf hari ini.
Namun, Rafizi menyifatkan kaedah khemah besar seperti dua tahun sebelum ini tidak lagi sesuai kerana pendekatan itu bakal melunturkan kepercayaan rakyat terhadap HARAPAN.
“Mereka melihat parti politik yang ada dalam negara semuanya membawa matlamat menghalalkan cara demi mendapat kuasa dengan kamu boleh bergaduh hari ini tetapi esok menjadi kawan,” katanya.