Selangor Kini: Stadium Shah Alam siap 2026, proses berjalan ikut jadual - MB
SHAH ALAM, 29 APRIL: Proses pembinaan semula Stadium Shah Alam berjalan lancar dan dijangka siap pada hujung 2026 seperti yang dijadualkan.
Dato’ Menteri Besar berkata bangunan lama akan dirobohkan sedikit masa lagi selain penghadang dipasang sekeliling kawasan bagi mengelak pencerobohan pihak luar.
“Proses berjalan mengikut landasan. Sekarang kita akan memenuhi keperluan yang diwajibkan Majlis Bandaraya Shah Alam sebelum meroboh sebab tak mahu ganggu kejiranan sekeliling.
“Kita percaya MRCB (pemaju) akan keluarkan tender perobohan dan putuskan dalam masa terdekat. Minggu lepas saya dimaklumkan kita boleh lengkapkan stadium hujung 2026 dan boleh digunakan selepas itu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri agensi bawah kepimpinan Duli Yang Teramat Mulia Raja (DYTM) Muda Selangor Tengku Amir Shah di sini hari ini.
Pada Februari, pengurus besar unit projek khas Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memaklumkan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) membabitkan tiga fasa dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029.
Datuk Ir Ruslan Abdul Aziz berkata fasa pertama membabitkan proses perobohan dan pembinaan semula Stadium Shah Alam dijangka selesai Mac tahun depan, seterusnya pembangunan stadium lengkap dengan ruang perniagaan serta plaza parkir dijangka siap 2026
Fasa kedua diteruskan bermula Januari 2027 membabitkan teater tertutup, sayap sukan dan belia serta kawasan rekreasi manakala fasa terakhir melibatkan pembinaan terminal bersepadu dan hotel yang dijangka bermula Januari 2028 hingga Disember 2029.