Selangor Kini: Sidang kemuncak niaga negeri catat nilai transaksi RM1.45 bilion, tarik lebih 44,000 pengunjung
SHAH ALAM, 24 NOV: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 mencatat nilai transaksi perolehan sebanyak RM1.45 bilion.
EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata pihaknya akan meneruskan lagi persidangan terbesar itu pada Oktober tahun hadapan di lokasi sama.
“SIBS 2022 menerima kunjungan seramai 44,342 pelawat membabitkan 75 peratus pengunjung perniagaan (trade visitors) dan 25 peratus pengunjung awam.
“Persidangan yang diadakan secara tahunan ini akan diteruskan pada Oktober 2023 di lokasi yang sama,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
SIBS tahun lalu merekodkan RM217.6 juta potensi jualan dan dianggap pencapaian membanggakan dalam keadaan negara berdepan pandemik Covid-19.
Diteruskan tahun ini, sidang berkenaan menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan) dan Ekspo Taman Perindustrian Selangor.
Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor; Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia turut diketengahkan.