Suara

Peristiwa
27/9/23
Selangor

Selangor Kini: Selangor miliki banyak kekuatan jadi pintu masuk Asia Tenggara - MB





SHAH ALAM, 26 SEPT: Hasrat Selangor untuk menjadi pintu masuk Asia Tenggara boleh dicapai menerusi kekuatan yang dimiliki dalam pelbagai sektor, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan kekuatan itu melibatkan pelabuhan, lapangan terbang, keterhubungan pengangkutan awam dan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi.

Beliau berkata kelebihan lain merangkumi perbandaran, perumahan mampu milik selain wilayah perniagaan berasaskan perkhidmatan serta sektor pembuatan dan industri sampingan.

“Ini membolehkan Selangor menjadi negeri penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada kadar 25.5 peratus pada tahun lalu,” katanya di laman X hari ini.


Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kanan) bersama Pengerusi STDC Mohd Nazri Noh (tiga, kiri) dan Rektor Universitas Paramardina Prof Didik J. Rachbini (empat, kanan) menunjukkan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai bagi meneroka bidang pendidikan sempena program Syarahan Perdana Kosmopolitan Nusantara di Universitas Paramardina, Jakarta pada 25 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Hasrat itu disuarakan Amirudin ketika menyampaikan kuliah umum di Universitas Paramardina, Jakarta sempena lawatan kerjanya ke bandar tersebut, semalam.

Beliau turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara universiti itu dengan Universiti Selangor bagi meneroka kerjasama pendidikan, penyelidikan dan pembangunan modal insan.

Dalam kuliah tersebut, Amirudin juga berkongsi pandangan berhubung perkembangan Asia Tenggara yang melalui proses demokrasi sekitar 60 hingga 70 tahun lalu.

“Akan datang, Asia Tenggara bakal menjadi ‘Abad Asia Tenggara’ (Southeast Asian Century) bagi menawarkan solusi sebagai model benua kecil (a model subcontinent) yang mengangkat demokrasi (dan) membina ekonomi bermaruah.

“(Selain itu) menjawab persoalan-persoalan baharu seperti perubahan iklim yang membawa kepada ketidaktentuan suhu dan cuaca, pekerjaan bermaruah, menggerakkan manusia menerusi mod pengangkutan awam, aspek keselamatan makanan dan lain-lain lagi,” katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.