Selangor Kini: Saringan kesihatan percuma jantung, barah, kencing manis, daftar di aplikasi SELangkah
SHAH ALAM, 18 JUN: Program saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri akan dianjurkan di tiga lokasi pada 22, 29 dan 30 Jun ini, kata EXCO kesihatan.
Jamaliah Jamaluddin berkata Selangor Saring diadakan di Dewan MPKS Bandar Baru Kuala Selangor pada 22 Jun, Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras DUN Gombak Setia (29 Jun) dan Dewan Sri Jugra (30 Jun).
Belau berkata inisiatif itu menyediakan saringan kesihatan seperti pemeriksaan fizikal, jantung, buah pinggang, kencing manis, darah tinggi, barah, mata, telinga dan gigi.
“Jom ramai-ramai berkunjung ke lokasi program saringan kesihatan di tiga lokasi. Ambil peluang ini untuk melakukan saringan kesihatan percuma.
“Anda digalak membuat pra pendaftaran menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) kerana penilaian faktor risiko setiap individu melalui borang saringan awal di aplikasi tersebut.
“Hubungi Selcare di talian 1800226600 jika mengalami masalah berkaitan pendaftaran,” katanya menerusi Facebook.
Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2024, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM3.2 juta bagi meneruskan saringan kesihatan percuma.
Program diperkenal bagi membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal dengan menyasar individu mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.