Selangor Kini: Ringan beban mangsa ribut, negeri hulur bantuan kepada 75 keluarga
KUALA LANGAT, 18 JULAI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyerahkan sumbangan wang tunai kepada 75 keluarga sekitar Telok Panglima Garang, di sini yang terkesan ribut pada April.
Ketua Yayasan MBI berkata setiap keluarga menerima bantuan RM550 merangkumi sumbangan MBI sebanyak RM250 serta RM300 daripada Kerajaan Negeri yang diagih melalui Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat.
Jelas Ahmad Azri Zainal Nor, sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri untuk meringankan beban mangsa bencana selain memberikan mereka sinar untuk bangkit semula.
“MBI harap usaha ini dapat memberi manfaat kepada mangsa serta mengukuhkan lagi semangat kebersamaan dalam menghadapi segala cabaran yang mendatang,
“Di pihak MBI, kita sentiasa bersedia untuk menghulurkan sumbangan segera kepada mangsa bencana sama ada banjir, ribut atau kebakaran,” katanya selepas majlis serahan bantuan di sini hari ini.
Ahmad Azri berkata kejadian yang berlaku pada 14 April itu turut menjejaskan beberapa sekolah di kawasan sekitar.
“Ribut kencang ini mengakibatkan kerosakan besar termasuk merosakkan bumbung rumah penduduk dan premis kerajaan,” katanya.
Sementara itu mangsa Hafida Rahim,54, berkata kejadian berkenaan menyebabkan kerosakan struktur rumah selain pendawaian elektrik.
Pekerja kilang itu menjelaskan, sehingga hari ini kerosakan tidak dapat dibaiki sepenuhnya berikutan kekangan kewangan.
“Duit bantuan hari ini memang nak guna untuk baiki apa yang rosak. Rumah saya jenis kampung jadi perlukan modal. Terima kasih MBI dan Kerajaan Negeri kerana beri bantuan,” katanya.
Suru rumah S Ramadewi,51, berkata duit berkenaan akan digunakan untuk menambah kos membeli peralatan elektrik baharu antaranya mesin basuh.
“Ribut terlalu kuat menyebabkan bumbung rumah dan konkrit dapur rosak. Jadi hujan mencurah masuk. Mesin basuk, meja makan semuanya rosak kena air,” katanya.