Selangor Kini: Reformasi tidak boleh putus-putus, perkemas jentera hadapi PRU15
SHAH ALAM, 17 JULAI: Perjuangan reformasi yang dibawa sejak lebih 20 tahun perlu diteruskan dan ditambah baik supaya Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) kekal di landasan untuk kembali menawan Putrajaya.
Bagaimanapun, Naib Presiden Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perjuangan reformasi hanya akan membuahkan hasil jika dilaksana dengan gerak kerja yang betul.
“Kita kena teratur dan tersusun (gerak kerja). Menjelang pilihan raya umum, kita ada beberapa kerja untuk diteliti, arah semula hala tuju ke depan terutama kepemimpinan baharu.
“Reformasi kena berterusan, tak boleh putus-putus,” katanya.
Berucap dipentas Kongres Nasional ke-16 KEADILAN hari ini, Dato’ Menteri Besar Selangor turut mengingatkan semua pimpinan untuk terus yakin perjuangan reformasi mampu membawa sinar baharu dan keadilan kepada rakyat.
“Perjuangan reformasi, perjuangan islah bukan hanya untuk menang kalah politik tetapi jaminan bahawa kalau kita laksanakan, kehancuran tak akan jadi pada mana-mana komuniti, bangsa atau negara selagi ada keadilan.
“Sebab itu di saat kita alami alunan menurun (politik), ada yang lemah semangat, berubah haluan. Ada kata kita kena tukar hala tuju.
“Jangan bimbang dan takut. Aliran ini, reformasi ini, islah ini yang terbaik untuk kita jadi kerajaan dan lakukan perubahan,” katanya.
Bertemakan ‘Menjulang Keadilan’ kongres tiga hari sejak Jumaat bakal melabuhkan tirainya petang ini. Kongres kali ini menyaksikan lebih 2,000 perwakilan mengambil bahagian selepas tidak dapat berbuat demikian tahun lalu akibat penularan Covid-19.