Media

Peristiwa
6/12/23
Selangor

Selangor Kini: PPAS sedia perkhidmatan ‘buggy’ mudahkan pengunjung pesta buku negeri



SHAH ALAM, 5 DIS: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menyediakan perkhidmatan “buggy” untuk pengunjung yang hadir ke Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 sehingga 10 Disember depan.

Pengarahnya Datin Paduka Mastura Muhamad berkata kemudahan itu disediakan sepanjang berlangsungnya pesta buku bagi kemudahan pengunjung selain menyelesaikan masalah pengangkutan.

“Secara keseluruhan kita mempunyai tujuh buggy tetapi khusus untuk pesta buku ini kita bawah empat untuk membantu pengunjung ke dewan.

“Pihak pengurusan cuba membantu menyelesaikan masalah pengangkutan dihadapi pengunjung yang terpaksa meletakkan kereta jauh daripada dewan,” katanya ditemui di acara tersebut dekat Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau mempelawa orang ramai untuk hadir ke pesta bagi mendapatkan pelbagai jenis buku daripada 255 pempamer.

Jelasnya, pempamer memberikan tawaran menarik kepada pengunjung yang hadir dengan diskaun menarik dan hadiah-hadiah termasuk cabutan bertuah.

“Bukan itu sahaja, pelbagai acara yang disediakan khusus untuk kanak-kanak termasuk pelancaran buku Antologi Puisi Rukun Negara yang bakal dirasmikan Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang.

“Pelancaran buku ini bersesuaian dengan peranan PPAS sebagai perpustakaan sebagai medium yang menyatupadukan semua rakyat di bawah satu bumbung,” katanya.

Sementara itu, Nurul Nadia Suranee,30, berkata beliau hadir dari Singapura semata-mata untuk membeli buku di pesta buku yang dianjurkan kali kedua tahun ini.

“Saya memang merancang untuk ke pesta buku dan kebetulan rakan juga mengajak untuk hadir ke sini. Jadi, saya tidak lepaskan peluang dan datang bersama suami dan dua anak.

“Pelbagai buku yang boleh didapati di pesta buku ini khususnya novel dan motivasi kerana di Singapura sukar untuk mendapatkan buku dalam bahasa Melayu. Bagi saya, penganjuran pesta buku ini sangat menarik dan sesuai untuk semua,” katanya.

Sabtu lalu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan merasmikan SIBF 2023 di Pusat Konvensyen MBSA diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Keberangkatan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

SIBF julung kali dianjurkan tahun lalu susulan kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006.

Sejak dianjurkan pada 2006, pesta buku itu bermula di Kompleks PKNS dan kemudian bertukar ke Pusat Konvensyen MBSA yang merekod hampir 5 juta pengunjung.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.