Selangor Kini: PKNS rancang bina pusat pameran bertaraf antarabangsa di SA Sentral
SHAH ALAM, 11 JUN: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merancang membina pusat pameran terbesar negeri bertaraf antarabangsa menerusi projek peremajaan bandaraya ini, SA Sentral.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Dato’ Mahmud Abbas berkata pembinaan pusat pameran tersebut dirancang bagi memenuhi keperluan Selangor dalam aktiviti pameran perdagangan.
“Kita akan membina kawasan ini sebagai satu pusat perdagangan. Bukan setakat ada pejabat dan sebagainya tetapi juga perlu ada pusat pameran.
“Pusat pameran ini bukan sekadar untuk pameran perdagangan tetapi juga akan ada kawasan untuk galeri diraja yang turut mempamerkan sejarah Selangor,” katanya ketika ditemui pemberita.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Selangor International Race (SIR) 2024 dan memperkenalkan lima barisan duta SIR di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.
Minggu lalu, Mahmud dilaporkan berkata projek SA Sentral bakal melonjak ibu negeri itu sebagai segi tiga emas yang membawa manfaat ekonomi untuk perniagaan tempatan.
Menurutnya projek tersebut akan diisi elemen budaya dan sejarah selain dilengkapi dengan teknologi hijau seiring matlamat pembangunan mampan.
Pada April, Dato’ Menteri Besar berkata projek peremajaan merangkumi bangunan SACC Mall, Plaza Perangsang, Kompleks PKNS serta Menara MRCB bermula hujung tahun dengan melibatkan kos sebanyak RM2 billion.
Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, projek secara berperingkat itu dijangka siap antara lapan ke 10 tahun dengan matlamat merancakkan ekonomi kawasan terbabit memandangkan ia merupakan ibu negeri.