Media

Peristiwa
15/3/24
Selangor
Bantuan
Perayaan

Selangor Kini: PKNS agih 5,000 bubur lambuk, pek makanan asas kepada OKU

SHAH ALAM, 14 MAC: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengagih 5,000 bekas bubur lambuk Kampung Baru kepada kakitangan serta orang ramai sempena Ramadan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) Suhaimi Kasdon berkata acara tradisi sejak lebih dua dekad lalu adalah aktiviti tahunan setiap kali bulan puasa.

“Tahun ini sebanyak RM40,700 dibelanjakan untuk program ini, manakala Koperasi PKNS Berhad diberi tanggungjawab untuk menyelaras edaran bubur lambuk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bubur Lambuk Kasih PKNS di sini hari ini yang menyaksikan
1,000 bekas diedar kepada kakitangan dan 500 kepada orang awam di kompleks beli-belah berkenaan.

Tambah Suhaimi, edaran kedua sebanyak 500 bekas dijadual pada 19 Mac ini di lokasi sama dan tiga lagi sesi kepada anggota PKNS dengan jumlah yang sama.

“Ia sebagai tanda penghargaan kami kepada masyarakat awam, terutama pengunjung Kompleks PKNS Shah Alam yang menjadikan pusat beli-belah ini sebagai lokasi pilihan untuk mendapatkan keperluan hari raya,” katanya.

PKNS turut menyampaikan pek Bekal Ramadan Kasih yang mengandungi barangan keperluan asas iaitu minyak masak, beras, gula, sardin dan kicap kepada orang kurang upaya (OKU).

Jelas Suhaimi, pengagihan melibatkan 65 keluarga OKU penglihatan yang merupakan ahli Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia (PPOBM).

“Seperti tahun lalu, pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat menerusi program Ramadan Kasih PKNS diatur bagi memberi peluang kepada kami berkongsi rezeki dengan golongan kurang bernasib baik dan juga komuniti,” katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.