Media

Peristiwa
4/12/23
Selangor

Selangor Kini: Pesta buku negeri terima sambutan luar biasa, dua hari dikunjungi lebih 80,000



SHAH ALAM, 3 DIS: Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih 80,000 pengunjung sejak dibuka kelmarin.

Pengarah SIBF Zafrullah Aris berkata meski hujan pada sebelah pagi di kedua-dua hari, namun program di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini berlangsung meriah.

“Dari hari pertama hingga kini, nampak peningkatan ketara pengunjung berbanding tahun lepas. Walaupun keadaan cuaca di luar kurang mengizinkan, tetapi pengunjung tidak putus-putus hadir dan ini antara sedikit kejutan buat penganjur.

“Kita menjangkakan lebih ramai lagi hadir memenuhi pesta buku kali ini selain optimis kehadiran pengunjung boleh mencecah 300,000 sehingga ke penghujung acara jika momentum ini bertahan,” katanya ditemui hari ini.

Zafrullah memaklumkan aktiviti dirancang dalam program terbabit setakat ini berjalan lancar mengikut jadual selain tiada pempamer yang menutup operasi berikutan faktor cuaca.

“Begitu juga acara cabutan bertuah untuk sembilan pemenang setiap hari yang menjadi tarikan SIBF. Justeru saya menyeru orang ramai untuk buat pembelian minimum RM30 dan berpeluang menang hadiah wang tunai RM500,” katanya.

Berlangsung dari 1 hingga 10 Disember, SIBF 2023 susulan kesinambungan Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006.

Edisi kedua pesta bertaraf antarabangsa menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah, jualan buku dan diskaun menarik menanti pengunjung.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.