Selangor Kini: Perkasa industri kreatif, enam penggiat seni terima geran RM60,000
PETALING JAYA, 9 JUN: Tourism Selangor menyalur geran berjumlah RM60,000 kepada enam penggiat seni bagi memperkasa hab industri kreatif di negeri ini.
EXCO pelancongan berkata projek penerima geran dipamer pada Festival Reka Bentuk dan Kraf 2024 (Tukang) di The Spine, PJKita, Petaling Jaya sejak Jumaat hingga hari ini.
Menurut Dato’ Ng Suee Lim, festival itu dianjurkan untuk memperkasa bakat seni tempatan sekali gus merancakkan industri kreatif dan pelancongan negeri.
“Daripada 30 penyertaan yang dihantar pada Disember lalu, enam dipilih dan diberi geran sebanyak RM60,000.
“Setiap pemenang menghasilkan sebuah seni dan kraf yang selaras dengan tema diberi iaitu ‘Circular Economy’ melalui konsep Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya pada majlis penutupan festival tersebut.
Suee Lim menjelaskan keunikan hasil seni yang diketengahkan artis tempatan juga mampu menjana ekonomi selain menarik minat pelancong melihat kreativiti hasil kraf di Selangor.
“Memasuki edisi kedua, saya amat berbangga terdapat ramai anak-anak muda menyertai Festival Tukang tahun ini.
“Pelbagai hasil seni dan kraf oleh artis-artis berbakat dipaparkan seperti Wayang Robot oleh Ahnaf Hakimi dan Scaling Up Scraps oleh Syiborisyd dan Aruznadi,” katanya.
Projek lain yang memenangi geran tahun ini ialah Pagar 2tt oleh Parti Design Awangan, Deru Arus (Jamil Zakaria), Dung Beetle-A Participatory ‘Dirt’ Exploration (Cheng Yen Peng) serta The Light of All Things (Khabir Roslan).
Festival anjuran Tourism Selangor dengan kerjasama Rantai Art turut menampilkan persembahan kumpulan muzik ‘indie’ tempatan seperti Daliliyana, Kingsley Chen dan Lorita Nyepit.
Acara yang turut dimeriahkan dengan jualan vendor makanan, minuman, hasil seni dan kraf menarik kedatangan lebih 2,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.