Suara

Peristiwa
13/3/23
Selangor
Isu
Perayaan

Sinar Harian: Peniaga bazar Ramadan Selangor wajib pakai pelitup muka - MB

PETALING JAYA - Kerajaan Selangor mewajibkan peniaga dan pengendali makanan di bazar Ramadan di negeri berkenaan pada tahun ini untuk memakai pelitup muka sebagai salah satu langkah menjaga kebersihan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, memakai pelitup muka bukan sahaja dapat mengelak Covid-19 tetapi juga daripada penyakit-penyakit lain berpunca daripada 'droplets and airborne diseases'.

"Sudah pasti keadaannya jauh lebih baik berbanding tahun lepas namun begitu saya tetap nasihatkan... dan kita juga telah menetapkan peraturan bahawa pengendali makanan harus memakai topeng (pelitup muka).

"Itu salah satu 'protection' yang kerajaan negeri laksanakan terutama dalam kalangan pengendali makanan," katanya ketika ditanya berhubung peraturan atau ketetapan amalan prosedur operasi standard (SOP) bazar Ramadan di Selangor pada tahun ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Jelajah #Kita Selangor Penyayang di Padang Permainan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Desa Mentari 3 Petaling Jaya di sini pada Ahad.

Amirudin yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak juga percaya SOP di bazar Ramadan di seluruh negara pada tahun ini akan dipantau Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri di negeri masing-masing.

Sementara itu, beliau berpandangan kempen kesedaran awam mengenai kepentingan mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 perlu dilaksanakan secara besar-besaran untuk meningkatkan perlindungan diri.

"Walaupun angka yang kita lihat di hospital sekarang boleh dianggap sangat terkawal namun jangkitan masih ada, mungkin sekitar 60 hingga 70 sehari tetapi kadar ditempatkan di hospital sangat kurang, angka dimasukkan ke ICU juga sangat kurang.

"Kalau rakyat ambil (dos penggalak) lebih baik terutama jika hendak keluar negara tambah pula kita mahu membuka sempadan kepada orang luar untuk datang dan ini mungkin akan menjemput penyakit-penyakit (lain) yang masih lagi boleh tersebar," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.