Media

Peristiwa
25/7/24
Selangor

Selangor Kini: Pengusaha kilang sebabkan pencemaran bau berdepan denda RM10 juta

SHAH ALAM, 24 JULAI: Pengusaha kilang plastik yang disyaki menjadi punca pencemaran bau sehingga empat loji rawatan air (LRA) dihenti tugas berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM10 juta.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor Nor Aziah Jaafar berkata kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, lapor Sinar Harian.

“Berdasarkan pindaan Seksyen 25 pada 7 Julai lalu, ia memperuntukkan hukuman penjara mandatori sehingga lima tahun dan denda tidak lebih RM10 juta jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Semalam, pencemaran bau dikesan di Sungai Kuang memaksa Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd menghenti tugas sementara LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).

Berikutan itu, tujuh wilayah iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Sementara itu, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata pihak mengenal pasti bahan jenis Poly Methacrylic Acid (PMAA) dilepaskan sebuah gudang penyimpanan bahan kimia di Sungai Kuang.

“Pencemaran telah masuk ke Sungai Kuang kemudian memasuki Sungai Kundang, Sungai Sembah dan akhirnya ke Sungai Selangor,” katanya.

Bagaimanapun Izham memaklumkan bekalan air bersih mula disalur secara berperingkat mulai jam 8 pagi tadi dan menjangkakan bekalan di semua kawasan terjejas pulih sepenuhnya Jumaat ini.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.