Media

Peristiwa
14/5/24
Isu
Selangor

Selangor Kini: Pengunjung JER pilih barangan PKPS tanda sokong produk tempatan

SHAH ALAM, 13 MEI: Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sering dinantikan penduduk terutama golongan berpendapatan rendah.

Suri rumah, Ramdanis Jalani, 48, berkata beliau memilih barangan PKPS kerana murah dan berkualiti selain mahu menyokong produk tempatan.

“JER sangat memanfaatkan golongan berpendapatan rendah selain harganya yang murah, produknya juga jenama tempatan. Saya rasa sudah tiba masanya kita menyokong produk tempatan.

“Memang setiap kali JER dianjurkan berhampiran rumah saya, saya tidak akan ketinggalan untuk berkunjung kerana ia sangat jimat,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 150 pengunjung menyerbu JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik di Tapak Pasar Malam Bukit Subang di sini hari ini.

Seorang lagi suri rumah, Siti Zarina Ozaman, 41, datang bersama suami dari Kota Damansara untuk membeli barangan asas murah selepas mendapat makluman menerusi Facebook PKPS.

“Lebih 10 kali saya kunjungi JER, suka beli di sini kerana harganya yang murah dan barangan juga segar serta berkualiti terutama beras, ayam, ikan dan telur,” katanya.

Pekerja kilang, Mohd Abduss Salam Wahab, 37, pula mengakui sering menantikan penganjuran program tersebut.

“Kalau dekat dengan saya memang saya akan pergi kerana tidak mahu terlepas peluang untuk dapatkan barangan pada harga murah terutama di saat kenaikan harga barang ketika ini.

“Harap Kerajaan Negeri dapat meneruskan dengan lebih kerap jualan murah seperti ini dan tambahkan lebih banyak barangan,” jelasnya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.