Selangor Kini: Pengendali pusat kebajikan syukur dapat geran RM5,000, tampung keperluan penghuni
18/05/2023 03:22 PM
HULU LANGAT, 25 MEI: Sebanyak 20 pusat kebajikan menerima geran RM5,000 daripada Kerajaan Negeri menerusi program Santuni Pusat Kebajikan Masyarakat.
Setiausaha Persatuan Jagaan Mahmudah Syafiq Mohiadin bersyukur dengan bantuan itu dan memberi manfaat kepada 45 warga emas di pusat jagaan tersebut.
“Bantuan kerajaan melalui program hari ini sangat membantu untuk menampung kos operasi bulanan pusat jagaan yang memerlukan pembelian katil, ubat-ubatan dan makanan buat ibu bapa kami di sini.
“Saya harap bantuan ini diteruskan kerana program sebegini tidak pernah dibuat memandangkan kami terpaks mencari dana sendiri dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli korporat dan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis penyerahan peruntukan program bawah Jawatankuasa Tetap Kebajikan Masyarakat yang disempurnakan EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau di Pusat Jagaan Mahmudah di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengurus Pusat Kebajikan Al-Fiqrah Nurul Atikah Azmi turut memuji keprihatinan Kerajaan Negeri atas sumbangan berkenaan yang memberi manfaat buat 70 warga emas pusat jagaannya yang bertempat di Kajang.
“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri, dana dapat menampung keperluan kebajikan 70 warga emas seperti makanan dan ubat-ubatan.
“Harapan bantuan ini akan diteruskan lagi kerana kos operasi makin meningkat,” katanya.