Media

Peristiwa
25/7/23
Selangor

Selangor Kini: Pembangunan Kompleks Islam disegera, jadi pusat pendidikan, agama, rekreasi komuniti

GOMBAK, 24 JULAI: Pembinaan Kompleks Islam bernilai RM25 juta di Kampung Wira Damai akan disegerakan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembangunan kompleks itu yang menempatkan masjid dan pusat pendidikan akan dimulakan Pemodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

“Kos pembinaan RM25 juta dan ia (pembinaan) akan didahulukan PNSB sebab ini tanah mereka, jadi tak perlu perubahan (tanah).

“Kita akan pastikan pembinaan ini dilakukan segera dan penduduk akan dapat kemudahan,” katanya ditemui pada Majlis Taklimat Pembangunan Kompleks Islam Gombak Permai, Kampung Wira Damai, di sini, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang Datuk Mohd Yazid Sairi; Ketua Pegawai Eksekutif PNSB Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim serta Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Mengulas lanjut Amirudin berkata kompleks tersebut yang dibina dengan reka bentuk nusantara bakal dilengkapi sekolah rendah agama, pusat komuniti dan kuarters pegawai serta kakitangan.

Selain itu, turut dibina kemudahan rekreasi dan laman aktiviti bagi mengadakan majlis dan program.

Beliau turut bersyukur rancangan pembinaan kompleks itu dapat direalisasikan dan akan menyegerakan pembangunannya.

“Saya anggar ia mengambil masa minimum tiga tahun dari sekarang dan harap ia (kompleks) membantu dan melegakan penduduk di sini malah lebih selesa untuk melakukan ibadah,” katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.