Media

Peristiwa
13/5/24
Selangor

Selangor Kini: Pelan tindakan negeri pintar hingga 2030 sedia pelbagai manfaat buat rakyat

SHAH ALAM, 12 MEI: Kerajaan Negeri di peringkat akhir meneliti penyambungan Pelan Tindakan Smart Selangor 2025 hingga 2030 untuk terus menyemarak agenda pendigitalan negeri selaras keperluan semasa.

EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata penelitian akhir itu dijangka selesai dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi.

“Kita bermula dengan program Smart Selangor pada 2016 hingga 2025 (dikemaskini sebagai Pelan Tindakan Smart Selangor 2025 pada 2020).

“Kita dalam peringkat akhir meneliti penyambungan program itu terus ke 2030. Ada banyak perkara masih perlu diselesaikan, mungkin dalam dua atau tiga bulan lagi (selesai),” katanya selepas merasmikan program Jelajah Saya Digital@Shah Alam anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di sini hari ini.

Beliau menjelaskan fasa pertama pelan tindakan itu banyak tertumpu ke arah penyediaan fasiliti dan kemudahan digital untuk digunakan rakyat.

“Dalam fasa kedua ini kita mahu melihat kepada keberkesanan penggunaan (fasiliti) tersebut dan bagaimana ia betul-betul memberi manfaat kepada rakyat.

“Ini peringkat seterusnya termasuk latihan kepada penjawat awam berkaitan pengoperasian Smart State,” katanya.

Mengulas lanjut katanya Selangor sentiasa komited menyediakan ruang dan peluang pekerjaan lebih baik untuk generasi baharu dalam bidang digital.

“Industri pembuatan di Selangor dalam proses menaik taraf dan menggalakkan industri berasaskan penggunaan Internet kebendaan (IoT) dan robotik yang memerlukan pengendali bijak.

“Selangor juga meneroka pelbagai bidang baharu menerusi pelbagai inisiatif termasuk membangunkan pusat pengujian teknologi dron di Bestari Jaya (dengan pelbagai bidang) antaranya kaedah pengurusan ruang udara,” katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.