Selangor Kini: Pameran Udara Selangor 2023 bakal ketengah aktiviti dron

SHAH ALAM, 19 JULAI: Aktiviti pengendalian dron bakal diketengah dalam Pameran Udara Selangor (SAS) pada 7 hingga 9 September ini selaras hasrat Kerajaan Negeri untuk memacu kemajuan industri itu.
Ketua pegawai eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) melihat kepentingan elemen itu dalam sektor penerbangan dan teknologi sekali gus meningkatkan nilai serta kualiti acara.
Dato’ Hasan Azhari Idris menjelaskan penambahbaikan dibuat susulan kejayaan aktiviti berkenaan sepanjang Pameran Udara Paris di Lapangan Terbang Paris-Le Bourget, Perancis pada 19 hingga 25 Jun.
“Industri ini sangat luas dengan anak muda akan mengambil bahagian dalam pengendalian dan pengaturcaraan aplikasi dron, penganalisis data serta pelatih dan jurutera.
“Mereka berpotensi menjadi pelumba dron profesional untuk mewakili negara ke peringkat antarabangsa. Kita berpendapat segmentasi bagi aktiviti dron akan ditambah dan dimasukkan dalam SAS kelak,” katanya kepada Selangorkini.
Beliau turut memaklumkan 80 peratus daripada 125 ruang pameran yang disediakan SAS kali ini diisi pemain industri aeroangkasa tempatan dan luar negara setakat ini.
“Kita mengharapkan lebih ramai lagi pemain industri dari dalam dan luar negara mengambil bahagian dalam SAS 2023,” katanya.
Berlangsung di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong di sini, edisi ketiga SAS menyasar potensi pelaburan sebanyak RM2 bilion, lebih tinggi berbanding RM1.174 bilion yang direkod tahun lalu.
Mula dianjur sejak 2021, SAS menjadi landasan Kerajaan Negeri mengalak pertumbuhan sektor aeroangkasa selain membantu syarikat tempatan serta usahawan industri kecil dan sederhana meneroka bidang itu.
Usaha menerusi Pelan Tindakan Aeroangkasa kendalian Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan (S-DAICO), jabatan khusus bawah Invest Selangor itu seiring sasaran negeri sebagai pemain utama aeroangkasa menjelang 2030.