Selangor Kini: Nelayan syukur, sumbangan negeri ringankan beban sedia peralatan ke laut
KUALA LANGAT, 2 JUL: Bantuan peralatan menangkap ikan bernilai RM400,000 sumbangan Kerajaan Negeri membantu 200 nelayan dari lima kawasan menyediakan kelengkapan turun ke laut.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pelabuhan Klang berkata menerusi bantuan itu setiap nelayan menerima pukat hanyut, tong minyak, kotak ikan dan minyak pelincir.
“Sebagai contoh jaring atau pukat mungkin perlu ditukar tiga hingga enam bulan sekali dengan kos sekurang-kurangnya RM100 jadi jika ada bantuan ini kos itu dapat dikurangkan.
“Sebab itu perlu bantuan bersasar seperti ini sesuai dengan keperluan. Kita gembira Kerajaan Negeri beri apa yang nelayan perlukan,” kata Abdul Rahman Kachil.
Beliau ditemui selepas majlis penyerahan bantuan program Pembangunan Agropreneur Selangor: Bantuan Nelayan yang disempurnakan EXCO Pertanian Ir Izham Hashim di sini, hari ini.
Sementara itu, nelayan dari Bagan Lalang Ahmad Shahril Tajudin, 36, berkata beliau perlu berbelanja sekitar RM1,000 sebulan untuk kos bahan api apabila turun ke laut.
“Kami memang sangat alu-alukan bantuan peralatan seperti ini kerana walaupun pada mata kasar nampak seperti tidak menelan kos tinggi sebenarnya kos agak banyak contohnya harga sebuah tong ikan hampir RM200,” katanya.
Ahmad Shahril antara 200 nelayan yang menerima insentif peralatan dan kelengkapan menangkap ikan berjumlah RM2,000 merangkumi pukat hanyut atau jaring, tong minyak, kotak ikan dan minyak pelincir.