Media

Peristiwa
5/12/23
Isu
Selangor

Selangor Kini: Negeri bina Taman Warisan Lombong Bijih Timah di Dengkil, jangka siap 2028


KUALA LUMPUR, 4 DIS: Taman Warisan Lombong Bijih Timah Negara akan dibangunkan di Sri Banting, Dengkil bagi merancakkan lagi pelancongan warisan dan budaya di Selangor.

EXCO kebudayaan berkata pembangunan taman seluas 72 ekar bermula sebaik proses lantikan kontraktor selesai dengan tempoh pelaksanaan dijangka mengambil masa empat tahun.

“Arahan sudah diberikan supaya kawasan (bagi pembangunan Taman Warisan) dikenal pasti. Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) memainkan peranan memastikan kawasan terbabit tidak diganggu gugat oleh pihak lain.

“Kita bimbang jika ada pembangunan tanpa perancangan yang betul, kita tidak boleh jadikan ia sebagai lokasi warisan kebanggaan negara dan dunia.

“Kerajaan Negeri komited merealisasikan pembangunannya bagi mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco),” kata Borhan Aman Shah.

Terdahulu beliau menghadiri majlis Pengkisahan Sejarah Kapal Korek di Malaysia ‘Menghidupkan Kembali Sejarah Revolusi Industri Selangor’ di Arkib Negara Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Arkib Negara Dato’ Jaafar Sidek Abdul Rahman dan Yang Dipertua MPSepang Dato’ Abdul Hamid Husain.

Borhan menambah pembangunan taman tersebut melibatkan peruntukan MPSepang selain dana sokongan Kerajaan Selangor dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) berjumlah RM50 juta.

“Kita ada bajet RM3 juta seperti diperuntukkan dalam Belanjawan Selangor 2024 bagi kegunaan baik pulih dan bengkel warisan seperti ini. Permohonan juga dibuat kepada Motac, kita harap paling tidak RM30 juta diluluskan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata taman dijangka beroperasi pada 2028 akan menempatkan struktur Kapal Korek Sri Banting berusia 49 tahun yang menjadi ikon peninggalan sejarah.

Pengisian lain di lokasi itu, katanya, muzium, restoran, aktiviti perniagaan termasuk kegiatan pelancongan seperti ‘glamping’ dan sukan air yang bakal menjadi tarikan pelancong.

“Pembangunan ini akan menjana ekonomi penduduk setempat dengan mewujudkan peluang pekerjaan baru selain memberi tambah nilai kepada sektor perniagaan sekitarnya.

“Taman ini juga akan menjadi sebagai pusat pembelajaran kepada pelajar sekolah dan pengkaji sejarah,” katanya lagi.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.