Selangor Kini: Negeri belanja RM275,000 salur bakul makanan, alatan nelayan di lima daerah

KLANG, 9 JAN: Kerajaan Negeri membelanja RM275,000 bagi menyalurkan bantuan peralatan penangkapan ikan dan bakul makanan kepada nelayan di lima daerah menerusi Program Pembangunan Agroprenuer hari ini.
EXCO Pertanian Ir Izham Hashim menyerahkan bantuan berkenaan kepada persatuan nelayan kawasan Sepang, Kuala Selangor, Kuala Langat, Klang dan Sungai Besar di Jeti Nelayan Sungai Sireh di sini.
Beliau memaklumkan bantuan kepada nelayan itu merupakan peruntukan tahun lepas, bagaimanapun tidak dapat diserahkan atas beberapa faktor termasuk pilihan raya negeri.
“Oleh demikian, hari ini kita serahkan bantuan ini kepada nelayan terbabit iaitu enam sampan, lima enjin dan 40 bakul makanan. Kita akan agihkan lagi bantuan pukat dan tong minyak kepada 200 penerima dalam masa terdekat.
“Secara keseluruhan, peruntukan disediakan sebanyak RM400,000 pada 2023 dan tahun ini bantuan sama akan diteruskan dalam membantu nelayan.
“Diharap dengan bantuan ini nelayan dapat memanfaatkannya untuk meningkatkan hasil pendapatan dan membantu keluarga serta persatuan,” katanya.
Sementara itu, nelayan Mohd Fauzi Shahar, 37, yang menerima bantuan sampan terharu kerana beliau memang berhasrat untuk membeli kemudahan itu untuk menambah pendapatan.
Mohd Fauzi Shahar, 37,
“Saya memang hendak beli sampan lebih besar berbanding sedia ada supaya dapat menangkap banyak ikan tetapi belum ada rezeki kerana masalah kewangan.
“Kini dengan bantuan sampan bersaiz 27 kaki saya dapat pergi lebih jauh sedikit dan dapat tambah pendapatan,” katanya.
Seorang lagi nelayan Abdul Malik Mansor, 45, yang menerima bantuan enjin bot bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri.
Abdul Malik Mansor, 45,
“Pertama kali saya dapat bantuan dan berasa gembira kerana enjin sedia sudah berusia 10 tahun lalu.
“Enjin lama sentiasa rosak dan setiap kali hendak dibaiki kos mencecah hampir RM600. Dengan adanya bantuan ini lebih mudahkan saya untuk turun ke laut,” katanya.