Selangor Kini: Negeri agih hampir RM2.3 juta bantu penduduk susah sambut Deepavali

SHAH ALAM, 27 OKT: Kerajaan Negeri memperuntuk hampir RM2.3 juta kepada penduduk India berpendapatan rendah seluruh negeri sempena perayaan Deepavali yang disambut minggu lalu.
EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau berkata bantuan berupa baucar beli belah Jom Shopping bernilai RM100 itu bertujuan membantu mereka melengkapkan keperluan raya.
“Agihan keseluruhan RM2.295 juta sudah selesai dibuat mengikut kuota DUN. Kita menyasarkan penduduk susah dan mempunyai banyak tanggungan.
“Inisiatif ini dapat meringankan beban rakyat dan mereka berbelanja di pasar raya terpilih di kawasan masing-masing,” katanya kepada SelangorKini hari ini.
Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri menyasar golongan berpendapatan rendah sebagai inisiatif jangka panjang bagi membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Serahan bantuan dibuat melalui pusat khidmat masyarakat di kawasan masing-masing mengikut komponen utama kaum dan sambutan perayaan.
Tahun ini, sebanyak RM8 juta dikhaskan untuk program Jom Shopping semua perayaan dengan RM3.34 juta dikhaskan sempena Aidilfitri pada Mei.