Suara

Peristiwa
20/6/23
Isu
Selangor

Selangor Kini: MB yakin HARAPAN dapat kekal pentadbiran negeri



SHAH ALAM, 19 JUN: Dato’ Menteri Besar yakin dapat mengekalkan pentadbiran negeri di bawah Pakatan Harapan (HARAPAN) berdasarkan prestasi cemerlang sejak 2018.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dasar mengutamakan kebajikan rakyat bakal mengulangi kejayaan memenangi lebih 50 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

“Kita sangat positif dan yakin kekal 2/3 majoriti serta mampu meneruskannya. Hendak bertanding jangan cerita pasal kalah, kena menang.

“Bertanding dahulu dan lihat pada situasi tetapi pada masa sama kena hormat kuasa rakyat. Pentadbiran ini sentiasa menitikberatkan pentadbiran yang baik dalam pengurusan kerajaan di semua peringkat.

“Kita tiada apa hendak dirahsiakan dan hampir setiap isu dijawab secara berdepan atau langsung tanpa cuba menutup dengan memasukkan di bawah ‘carpet’ atau keluar pintu belakang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas sempena lima tahun pentadbiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Amirudin yang juga pengerusi HARAPAN Selangor berkata strategi betul dengan rakan gabungan lain juga bakal menjadi faktor mencipta kejayaan lebih besar dalam PRN.

“Sepanjang lima tahun, tiada sebarang isu-isu pertempuran dalaman yang sangat tajam dalam PH Selangor dan kalau strategi betul dengan rakan gabungan boleh cipta kejayaan lebih besar,” katanya.

Amirudin berkata Selangor akan ditadbir oleh kerajaan ‘caretaker’ atau sementara diketuai dirinya dan barisan EXCO.

“Menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ada beberapa butiran yang boleh dilaksana atau tidak wajar dilakukan yang bertentangan sebagai kerajaan sementara.

“Pelaksanaan dasar-dasar baharu atau pengumuman tidak dapat dibuat tetapi pelaksanaan atas dasar sedia ada untuk urusan pentadbiran dan program masih boleh dijalankan,” katanya.

Pagi tadi, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan membubarkan Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 23 Jun bagi membolehkan PRN diadakan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berkenan menandatangani proklamasi pembubaran DNS ke-14 pada majlis istiadat di Balai Dewan Diraja Istana Alam Shah.

Titah Sultan Selangor, majlis pengisytiharan pembubaran diadakan awal berikutan keberangkatan Baginda bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menunaikan ibadah haji esok.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.