Selangor Kini: MB sumbang RM99,000 kepada 33 persatuan belia, pelajar
SHAH ALAM, 25 MAC: Sejumlah RM99,000 disumbang Pejabat Dato’ Menteri Besar kepada 24 persatuan belia dan pelajar serta sembilan majlis belia daerah.
Dato’ Menteri Besar berkata dana RM3,000 setiap persatuan itu bertujuan memberi dorongan kepada ahlinya bergiat lebih aktif menganjurkan pelbagai program.
Dato’ Seri Amirudin Shari turut menitipkan pesanan kepada mahasiswa dan generasi muda itu melaksanakan tanggungjawab selaku pemimpin dengan sebaiknya.
“Tugas dan peranan saudara sangat penting malahan lebih penting berbanding dengan masa dan waktu sebelum ini kerana setiap kelompok atau generasi kita ada cabaran yang berbeza.
“Hari ini cabaran kita lebih besar kerana berdepan dengan ketidaktentuan situasi politik yang mana ada majoriti generasi muda seolah kurang yakin terhadap masa depan mereka.
“Sebagai pewaris pimpinan masa depan saudara perlu cipta trend bukan ikut trend, ia bukan soal kelompok mana yang harus menang dan diberi kepercayaan tetapi tugas kita adalah memberi keyakinan semula dan mendidik anak muda hari ini mengenai masa depan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Berbuka Puasa bersama Pimpinan Belia dan Mahasiswa Selangor di sini hari ini.
Bertempat di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, program tahunan itu dihadiri kira-kira 400 pimpinan belia dan mahasiswa Selangor.
Hadir sama EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Najwan Halimi; Presiden Majlis Belia Negeri Selangor Dato’ Mohd Imran Tamrin dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi.
Amirudin turut berkesempatan menunaikan solat Maghrib berjemaah dan beramah mesra dengan semua hadirin usai majlis berkenaan.