Suara

Peristiwa
29/4/24
Isu

Selangor Kini: MB: Peruntuk dana kebajikan lebih besar, penuhi keperluan semasa rakyat


AMPANG, 28 APR: Program kebajikan negeri sentiasa ditambah bagi memastikan manfaatnya sampai kepada sasaran seterusnya memenuhi keperluan semasa rakyat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia juga dilaksanakan dengan rapi dan tersusun bagi mencapai matlamat akhir iaitu setiap inisiatif memberi sokongan kepada golongan memerlukan.

“Ada yang menuduh saya kedekut, saya ini tidak jujur atau saya menarik balik program kebajikan. Hakikatnya daripada segi angka dana kebajikan kita lebih besar berbanding dana pada tahun sebelum ini.

“Yang kita kurangkan contohnya air percuma (ada sebab). Jika dulu air percuma diberikan kepada semua termasuk rumah, pusat khidmat masyarakat serta premis komersial pun dapat namun sekarang kita sasarkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berucap pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang 2024 di tapak bazar Ramadan, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini, hari ini.

Amirudin berkata program kebajikan negeri sentiasa ditambah baik termasuk menambah peruntukan beberapa program termasuk Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Jom Shopping Perayaan.

“Selain itu tahun ini RM10 juta diperuntuk untuk program Jualan Ehsan Rahmah (JER) dan RM50 juta untuk pastikan keterjaminan makanan rakyat Selangor.

“Tahun ini juga, buat pertama kali dalam sejarah Selangor, Kerajaan Negeri menaja sepenuhnya 36 jemaah haji Selangor menunaikan ibadah itu selain meneruskan insentif jemaah haji muassasah,” katanya.

Kerajaan Negeri memperkenalkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) pelan lima tahun yang menggariskan 262 projek pembangunan jangka panjang yang turut merangkumi inisiatif kebajikan bagi memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.