Selangor Kini: MB hargai sukarelawan belia, bersungguh bantu negeri bangkit pascabanjir
SHAH ALAM, 14 APRIL: Golongan belia diakui memainkan peranan penting membantu Selangor bangkit selepas bencana banjir melanda hujung tahun lalu, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya menghargai penglibatan belia yang membolehkan negeri ini keluar lebih cepat dari belenggu permasalahan khususnya berkaitan aktiviti kesukarelawan ketika pascabanjir.
“Tidak kurang 50,000 sukarelawan terlibat dengan 60 peratus terdiri anak-anak muda yang membantu kita dengan pantas dalam tempoh satu bulan selepas bencana banjir besar melanda.
“Rakyat Selangor mampu keluar dari trauma dari peristiwa banjir tersebut dan meneruskan kehidupan yang sedikit sebanyak disumbangkan anak-anak muda yang terlibat,” katanya hari ini.
Dato’ Seri Amirudin Shari berucap dalam majlis berbuka puasa bersama belia di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini.
Beliau berkata komitmen anak muda ketika berdepan peristiwa banjir menunjukkan golongan itu bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku.