Selangor Kini : Kibaran pertama bendera Malaysia di Istana Selangor 1950
Sebaik sahaja bendera Union Jack diturunkan, bendera Tanah Melayu yang baharu perlahan-lahan dinaikkan, disusuli nyanyian lagu kebangsaan. Dalam pidatonya, upacara itu disifatkan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, perdana menteri pertama sebagai “momen terhebat dalam kehidupan rakyat Tanah Melayu.”
Corak bendera itu hampir sama dengan versi sekarang; tertera jalur merah dan putih, petak biru di sudut atas kiri mengandungi bulan sabit dan bintang. Satu-satunya perbezaan adalah jumlah garis dan bilangan bucu bintang. Pada 1957, hanya ada 11 jalur, enam merah dan lima putih, dan bintang kuning 11 bucu sebagai lambang bendera persekutuan.
Namun, peristiwa itu bukan pertama kali bendera berkenaan dikibarkan sebaliknya ia lebih dahulu dinaikkan di perkarangan Istana Selangor (yang kemudian dikenali Istana Negara) di Kuala Lumpur pada 26 Mei 1950, kini dijadikan Muzium Diraja. Dalam upacara jam 9.30 pagi, bendera berukuran enam kaki lebar dan tiga kaki panjang dinaikkan Pesuruhjaya Tinggi British Sir Henry Gurney pada tiang setinggi 60 kaki.
Sultan Selangor Sultan Hisamuddin Alam Shah antara orang kenamaan yang hadir menyaksikan peristiwa bersejarah itu. Turut sama, Menteri Besar Perak Abdul Wahab Abdul Aziz, Menteri Besar Pahang Dato Mahmud Mat, Menteri Besar Johor Dato Onn Jaafar, Menteri Besar Kelantan Nik Ahmad Kamil Haji Mahmud, Menteri Besar Perlis Raja Haji Ahmad Endut dan Menteri Besar Negeri Sembilan Dato Abdul Malek Yusuf.
Berbeza-beza
Sebelum 1946, Tanah Melayu sebagai jajahan Inggeris terdiri daripada empat negeri bersekutu iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Lima negeri tidak bersekutu pula adalah Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis. Lima negeri bersekutu sudah ada bendera iaitu empat jalur putih, merah, kuning dan hitam serta gambar harimau berlari.
Kombinasi hitam, merah dan kuning mewakili Negeri Sembilan, hitam dan putih (Pahang), putih dan kuning (Perak) dan merah kuning (Selangor). Bagaimanapun, negeri-negeri tidak bersekutu tidak memiliki bendera sendiri sekalipun semua wilayah itu juga bawah naungan Inggeris dengan sistem pentadbiran berlainan.
Pada 1949, kira-kira setahun selepas Persekutuan Tanah Melayu diwujudkan bagi mengganti Malaysian Union, satu pertandingan rekaan bendera baru diadakan. Ia dikelolakan jawatankuasa diketuai Ketua Setiausaha Negara Sir Alec Newboult bersama beberapa wakil lain.
Sebanyak 373 rekaan diterima tetapi hanya tiga terpilih ke peringkat akhir untuk dinilai orang ramai. Seorang daripadanya Mohamed Hamzah (gambar), arkitek berusia 29 tahun yang bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR) di Johor Bahru. Beliau menghantar dua rekaan, disiapkan dalam dua minggu.
Ciptaan pertamanya adalah bendera hijau dengan keris biru di tengah-tengah, dikelilingi 15 bintang putih. Rekaan kedua pula – terpilih ke peringkat akhir – berlatar biru, ada 11 jalur warna merah dan putih dengan bintang bucu lima dan bulan sabit warna kuning. Dua lagi rekaan yang turut terpilih ke peringkat akhir, keseluruhan bendera berlatar biru dengan imej keris di tengah-tengah dan dikelilingi 11 bintang putih secara bulatan. Satu lagi agak mirip, bezanya bintang yang mengelilingi keris bukan bulat sebaliknya berbentuk seakan-akan bintang berbucu enam.
Namun, Arkib Negara tiada rekod mengenai pereka kedua-dua rekaan berkenaan. Malah, identiti Hamzah hanya diketahui 12 tahun selepas kematiannya pada 1993.
Pemilihan akhir
Orang ramai memberi pendapat terhadap ketiga-tiga rekaan tersebut melalui akhbar The Malay Mail. Keputusan akhir yang disiarkan pada 28 November 1949 menunjukkan orang ramai memilih rekaan Hamzah. Namun, rekaan itu ada sedikit pindaan sebelum mendapat perkenan mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950.
Mengikut kenyataan Abu Bakar, adik bongsu Hamzah, melalui wawancara Harian Metro pada 31 Ogos 2004 pindaan itu dibuat Onn berikutan penggunaan lima bucu bintang rekaan abangnya disalah anggap menyerupai bendera komunis.
Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan memilih bendera berkenaan sebelum ia dikibar buat pertama kali di Istana Selangor sebulan kemudian.