Selangor Kini: Kerjasama syarikat industri teknologi diperkukuh, lahir tenaga kerja bergaji- MB
SHAH ALAM, 12 DIS: Pentadbiran negeri akan memperkukuh kerjasama dengan syarikat industri teknologi tinggi tahun depan bagi melatih pelajar dalam bidang berkaitan sekali gus melahirkan ramai tenaga kerja bergaji tinggi.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerjasama dijalankan melalui Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) untuk menawarkan pensijilan profesional kepada anak muda.
“Kerjasama dengan Siemens akan dikukuhkan dengan program baharu pembangunan aplikasi Mendix di Belanda termasuk KNX Brussels, Belgium yang merupakan pelopor teknologi bagi automasi pembinaan (building automation).
“(Sebelum ini), STDC menawarkan pensijilan profesional hasil kerjasama syarikat seperti Apple, Siemens, Dassault Systems dan Festo. Misalnya teknologi Digital Twin yang digunakan untuk simulasi oleh Dassault telah mula melatih pelajar dalam bidang ini,” katanya.
Beliau berucap sempena majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi pembangunan modul kurikulum automasi dan pendigitalan industri antara STDC serta Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin percaya STDC bersedia melipat ganda usaha mencapai hasrat Kerajaan Negeri untuk menawarkan 100,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada anak muda di Selangor.
“Kita bukan lagi fokus untuk menawarkan peluang pekerjaan tetapi memberi gaji yang tinggi dan berpatutan sepadan dengan masa kini,” katanya.