Suara

Peristiwa
1/7/24
Selangor

Selangor Kini: Kerajaan perpaduan tidak pinggir kaum India, sedia banyak bantuan

NIBONG TEBAL, 30 JUN: Kerajaan perpaduan tidak pernah meminggirkan kaum India, malah banyak usaha dilakukan bagi memelihara kebajikan komuniti itu, kata Dato’ Menteri Besar.

Mengambil contoh di Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelbagai bantuan disalur termasuk sumbangan perayaan Deepavali selain isu ceroboh kuil diselesaikan.

“Kerajaan perpaduan yang diketuai Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sentiasa membantu rakyat tanpa mengambil kira latar belakang.

“Sejak 2008, saya menjadi Ahli Dewan Negeri (ADN) dulu dikenali Batu Caves kini Sungai Tua, perayaan Thaipusam yang menjemput sejuta masyarakat beragama Hindu membayar nazar di Batu Caves dilaksana tanpa gagal,” katanya.

Amirudin yang juga Pengerusi HARAPAN Selangor berkata demikian ketika berucap pada sesi minum petang bersama komuniti India di Ladang Sepah, Jawi di sini sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap, hari ini.

Amirudin turut menyeru masyarakat India di DUN itu mengundi calon kerajaan perpaduan, Dr Joohari Ariffin bagi membela nasib komuniti tersebut.

“Sungai Bakap memerlukan wakil rakyat dari kerajaan negeri Pulau Pinang, kerana pembangkang tidak boleh melaksanakan apa-apa kepada rakyat.

“Kemenangan calon kerajaan perpaduan penting untuk kita pastikan rumah ibadat, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan keperluan untuk perayaan dapat dipelihara dengan baik,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Perikatan Nasional (PN).

HARAPAN mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Manakala PN pula diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail.

SPR menetapkan hari mengundi awal bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 2 Julai ini manakala hari mengundi 6 Julai.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.