Selangor Kini: Kafa integrasi Subang Bestari terima sumbangan wakaf RM45,000

SHAH ALAM, 24 APRIL: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyerah sumbangan wakaf fisabilillah RM45,000 kepada Kafa Integrasi Al Hikmah di Subang Bestari Khamis lalu.
PWS menerusi Facebook memaklumkan sumbangan berkenaan bagi melaksanakan kerja naik taraf kantin dan pemasangan bumbung di dataran sekolah berkenaan.
“Semoga sumbangan ini memberi manfaat kepada guru dan pelajar dan menjadikan jariah yang mengalir kepada pewakaf-pewakaf yang menyumbang di PWS sehingga yaumulakhirah,” katanya.
Terdahulu, serahan cek cura disempurnakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PWS Anuar Hamzah Tohar dan diterima Ketua Guru Mohd Nizam Abu pada majlis sambutan Aidilfitri sekolah itu.
Anuar turut berkesempatan menyampaikan taklimat berhubung operasi PWS selain mengajak para guru melaksanakan ibadah wakaf melalui potongan gaji.
Orang ramai yang mahu menunaikan wakaf tunai, boleh berbuat demikian secara dalam talian melalui pautan https://fpx.wakafselangor.gov.my atau http://infaqpay.my/go/wakafselangor