Selangor Kini: Jualan murah barangan asas di lima cawangan Segi Fresh Sabtu, Ahad ini
SHAH ALAM, 16 JAN: Program jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan kerjasama pasar raya Segi Fresh diteruskan ke lima lokasi hujung minggu ini.
Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan barangan asas murah antaranya ayam, ikan, daging kiub, sayur-sayuran dan minyak masak diadakan di Segi Fresh cawangan Ara Damansara dan Pandamaran pada Sabtu.
Jualan sama pada Ahad pula di pasar raya cawangan Saujana Utama, Sungai Besar dan Tanjung Karang.
“Kami bekerjasama dengan PKPS dan KPDN Selangor bagi membantu ringankan beban komuniti setempat terutamanya golongan B40. Dapatkan barangan keperluan asas pada harga terbaik dan berbaloi,” maklum Segi Fresh di Facebook.
Jualan murah itu sebahagian daripada memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara PKPS dan Segi Fresh, Julai tahun lalu bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.
Selain bekerjasama dengan Segi Fresh, PKPS turut menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih seluruh negeri pada setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum.
JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).
Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.
Mulai 2022, Kerajaan Negeri melancarkan program jualan murah, lanjutan Program Agro Prihatin Selangor yang diperkenal pada 2 Jun 2021 menerusi Pakej Kita Selangor 2.0. Ia bertujuan mengatasi lambakan hasil tani akibat pandemik Covid-19.
Program itu dijenamakan sebagai Jualan Prihatin Rakyat pada 28 Februari 2022. Pelaksanaannya dilanjutkan sehingga Julai 2022. Pada 30 Ogos 2022, ia diumumkan pula sebagai Jualan Ehsan Rakyat.
Ia kemudian ditukar kepada Jualan Ehsan Rahmah selepas PKPS bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.