Inisiatif

Peristiwa
20/12/23
Isu
Selangor

Selangor Kini: Jualan murah ayam, daging, ikan di tujuh cawangan Segi Fresh minggu ini

SHAH ALAM, 19 DIS: Program jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan kerjasama pasar raya Segi Fresh diteruskan ke tujuh lokasi pada 21, 23 dan 24 Disember ini.

Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan barangan asas antaranya ayam, ikan, daging kiub, sayur-sayuran dan minyak masak diadakan di Segi Fresh cawangan Telok Panglima Garang pada Khamis, 21 Disember.

Ia diteruskan di tiga lokasi pada Sabtu ini di Segi Fresh cawangan Kuala Kubu Bharu, Saujana Utama dan Banting.

Pada Ahad, 24 Disember program sama diadakan di Segi Fresh cawangan Tanjung Karang, Kajang dan Taman Amaniah Mulia.

“Kami bekerjasama dengan PKPS dan KPDN Selangor untuk mendekati komuniti melalui program Jualan Ehsan Rahmah.

“Dapatkan barangan keperluan asas pada harga terbaik dan berbaloi pada 21, 23 dan 24 Disember ini,” maklum Segi Fresh di Facebook.

Jualan murah itu sebahagian daripada memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara PKPS dan Segi Fresh, Julai lalu bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Selain bekerjasama dengan Segi Fresh, PKPS turut menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih seluruh negeri pada setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Terbaru, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 peringkat antarabangsa berikutan kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER.

Pada 22 September, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Mulai 2022, Kerajaan Negeri melancarkan program jualan murah, lanjutan Program Agro Prihatin Selangor yang diperkenal pada 2 Jun 2021 menerusi Pakej Kita Selangor 2.0. Ia bertujuan mengatasi lambakan hasil tani akibat pandemik Covid-19.

Program itu dijenamakan sebagai Jualan Prihatin Rakyat pada 28 Februari 2022. Pelaksanaannya dilanjutkan sehingga Julai 2022. Pada 30 Ogos 2022, ia diumumkan pula sebagai Jualan Ehsan Rakyat.

Ia kemudian ditukar kepada Jualan Ehsan Rahmah selepas PKPS bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.