Selangor Kini: Jerebu: Negeri sedia hadapi kemungkinan orang ramai diancam penyakit
SHAH ALAM, 3 OKT: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sedia dengan sebarang kemungkinan orang ramai diancam penyakit akibat jerebu.
EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin mengakui kualiti udara yang tidak sihat susulan cuaca itu memberi risiko terhadap kesihatan orang ramai terutama warga emas.
“Sekiranya keadaan (jerebu) bertambah teruk, kita akan pastikan JKNS sedia untuk membantu warga Selangor yang mungkin akan terkesan dengan penyakit tertentu,” katanya ketika dihubungi.
Beliau bagaimanapun menasihati rakyat negeri ini mengelak aktiviti luar dan kerap minum air sepanjang tempoh cuaca panas dan kering, selain sentiasa memakai pelitup muka apabila berada di luar.
Jamaliah berkata ibu bapa juga diminta merujuk laman sesawang https://apims.doe.gov.my/home.html bagi mengetahui status terkini kualiti udara, sekali gus memudahkan pemantauan terhadap anak-anak.
“Kadangkala pelajar rasa jerebu ini hanya menjejaskan pandangan semata-mata, sebaliknya mereka tidak tahu ia sebenarnya boleh membawa kesan terhadap kesihatan.
“Saya minta ibu bapa peka hal ini dan jika keadaan udara tidak baik, pastikan anak-anak tidak buat aktiviti luar. Begitu juga di sekolah, sekiranya masih ada sekolah yang benarkan aktiviti sukan, sila laporkan kepada pihak sekolah,” katanya.
Mei lalu, pihak berkuasa cuaca dan iklim memberi amaran berlakunya jerebu lebih serius di rantau selatan Asean antara Jun dan Oktober tahun ini.